22 simpang dipasang SPIKTRA-M
AYER KEROH 9 Sept – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mewujudkan Sistem Pintar Kawalan Trafik- MBMB (SPIKTRA – M) di tujuh Zon melibatkan 22 simpang sekitar Bandaraya Melaka.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu berkata, sistem itu inovasi baharu MBMB untuk memastikan kelancaran trafik atau sebagai penyuraian trafik secara automatik.
“Ini menjadi penggerak MBMB dalam bidang teknologi dan teknikal memenuhi permintaan industri selaras dengan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) Negara.
“Sistem ini mempunyai Artificial Intelligence Traffic Camera, Artificial Intelligence Traffic Management Software, Wireless Video Detector (WVD), Wireless Pedestrian Detector (WPD) dan lain-lain pendekatan teknologi yang bersesuaian.
“Pendekatan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan masa menunggu pengguna jalan raya dengan cara yang sistematik,” katanya kepada MHI.
Ujarnya, SPIKTRA-M menyediakan platform pengumpulan data dari setiap persimpangan lampu isyarat kepada ibu pusat kawalan lalu lintas.
“Data itu diolah dan dimanipulasi menggunakan algoritma kecerdasan buatan yang menghasilkan sistem lampu hijau bersepadu (Integrated Greenwave Linking).
“Pegawai trafik mampu mengetahui status semasa lampu isyarat yang berhubung secara langsung dengan SPIKTRA-M,” katanya.
Tambahnya, SPIKTRA-M akan merekod dan menganalisis sebarang perubahan trafik lalu lintas serta memberi cadangan tambahbaik masa lampu hijau di setiap persimpangan.
“Zon dilengkapi sistem ini di Zon Jalan Syed Abdul Aziz / Melaka Raya (empat persimpangan), Zon Banda Hilir (tiga persimpangan), Zon Kota Laksamana (tiga).
“Selain Zon Munshi Abdullah (tiga), Zon Semabok (empat), Zon Pengkalan Rama (tiga) dan Zon Panglima Awang (dua persimpangan) dengan nilai kos kira-kira RM 2.8 juta.
“Sistem ini juga dilengkapi dengan Pusat Kawalan SPIKTRA-M yang ditempatkan di Aras 4 Bangunan Teknikal MBMB,” katanya lagi.
Untuk rekod SPIKTRA-M boleh dipantau melalui beberapa kaedah iaitu melalui bilik kawalan SPIKTRA-M dan melalui aplikasi pintar (Tablet, telefon pintar dan komputer riba).
SPIKTRA-M merupakan teknologi memperkasakan kehidupan yang menggunakan ciri kecerdasan buatan Artificial Intelligent (AI), pembelajaran mesin dan pengkomputeran awam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.