250,000 rakyat Melaka disasar terima suntikan vaksin Fasa 2

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BUKIT KATIL 19 April. – Seramai 250,000 rakyat negeri ini disasar menerima suntikan vaksin dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Fasa 2 yang bermula hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, keutamaan untuk PICK Fasa 2 diberikan kepada warga emas berumur 60 tahun ke atas, individu yang mempunyai sejarah penyakit (komorbiditi) dan orang kelainan upaya (OKU) terlebih dahulu sebelum diagihkan kepada individu lain.

Katanya, sama seperti fasa pertama sebelum ini sebanyak tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka di Melaka iaitu di Dewan Tun Ali bagi daerah Melaka Tengah, Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Masjid Tanah (Alor Gajah) dan Dewan Alamanda Jasin (Jasin).

 

“Untuk makluman, Melaka telah mengenal pasti 29 fasiliti bukan Kesihatan di tiga daerah. Namun, berdasarkan kadar pendaftaran penerima vaksin, buat masa ini, hanya tiga PPV akan beroperasi terlebih dahulu dan PPV lain akan dibuka secara berperingkat.

“Justeru, saya meminta kepada semua warga emas untuk datang dan mendapatkan vaksin serta tidak melepaskan peluang. Sekiranya terlepas peluang, slot vaksin akan diambil oleh orang lain daripada fasa 2 kerana fasa 3 juga akan bermula pada Mei depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke PPV Dewan Tun Ali, di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Hasim Hasan, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman, Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Ismail Ali dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Melaka Mohd Nasrul Menhat.

Dalam pada itu, Sulaiman memaklumkan, status pemberian vaksin COVID-19 fasa 1 bagi negeri Melaka telah melebihi sasaran yang ditetapkan.

Menurutnya, daripada data yang diterima sehingga 17 April, seramai 19,470 individu yang juga petugas barisan hadapan telah menerima suntikan vaksin bagi dos pertama, manakala untuk dos kedua, ia telah diberikan kepada seramai 10,249 orang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

366
Kongsi :
Previous post 1,500 bungkus air dan kurma habis dalam 15 minit
Next post M-WEZ: Masyarakat Kampung Portugis jangan ‘termakan’ provokasi
Ubah saiz-+=