1,500 bungkus air dan kurma habis dalam 15 minit

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KUALA LINGGI 19 April. – Sebanyak 1,500 bungkus minuman dan kurma habis diagihkan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin dalam tempoh 15 minit kepada anggota komuniti di pekan Kuala Sungai Baru, di sini, semalam.

Beliau dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) serta PAS Bahagian Masjid Tanah mengedarkan bahan makanan dan minuman itu di atas jambatan pekan berkenaan mulai jam 5.30 petang.

Ia membolehkan anggota komuniti di pekan itu menikmati pelbagai jenis minuman seperti soya, jambu batu dan tembikai, selain kurma yang disediakan khusus untuk mereka berbuka puasa.

Mas Ermieyati berkata, walaupun sumbangan berkenaan tidak seberapa, sedikit sebanyak ia mampu membantu mengurangkan perbelanjaan anggota masyarakat untuk berbuka puasa.

“Alhamdulillah, kami dapat menyediakan minuman dan kurma yang diimport khas untuk memenuhi selera dan keperluan anggota komuniti di kawasan ini.

“Saya bercadang menganjurkan program yang sama pada minggu terakhir Ramadan bagi membantu menyediakan juadah berbuka untuk masyarakat di sini,” katanya selepas program itu.

Sementara itu penerima sumbangan, Abdul Kadir Mohd Noor, 25, berkata dia agak terkejut melihat ramai ahli parti BERSATU dan PAS di jambatan berkenaan semata-mata untuk bersedekah.

“Alhamdulillah, sedekah pada Ramadan diberikan pahala berlipat kali ganda dan saya doakan agar mereka yang bersedekah dipanjangkan usia dan dimurahkan rezeki,” katanya.

Abdul Muluk Md Isa, 45, berkata sumbangan itu membuktikan pemimpin politik tidak mengetepikan anggota masyarakat di luar musim pilihan raya.

“Datuk Mas (Ermieyati) memang mudah didekati dan tidak mementingkan protokol jika rakyat meminta bantuan atau sumbangan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

373
Kongsi :
Previous post Hasilkan bubur lambuk walaupun pergelangan tangan kudung
Next post 250,000 rakyat Melaka disasar terima suntikan vaksin Fasa 2
Ubah saiz-+=