Hasilkan bubur lambuk walaupun pergelangan tangan kudung

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

PANTAI KUNDOR 18 April – Biarpun kudung pergelangan tangan kanan dan cacat tangan kiri tidak menghalang seorang bekas tentera turut serta membuat bubur lambuk.

Yaacob Hassan, 69, sanggup bersusah-payah bersama ahli jawatankuasa (AJK) Masjid Nurul Hidayah, Kampung Tanah Merah Jaya, Tanjung Kling dekat sini untuk menyiapkan rencah sebelum mengacau bubur lambuk.

Berdasarkan pengalaman memasak pada majlis kenduri kahwin, Yaacob mengetuai kira-kira 13 AJK dan anak kariah kampung berkenaan untuk menghasilkan bahan makanan itu.

KAUM wanita menunjukkan daging dan udang untuk dicampur dengan perencah lain bagi menghasilkan bubur lambuk di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Tanah Merah Jaya, Tanjung Kling.

 

Katanya, untuk menghasilkan bubur lambuk yang benar-benar enak, udang segar digunakan sebagai antara rencah, selain daging dan pelbagai bahan lain.

“Alhamdulillah, hari ini (semalam) kami memulakan program menghasilkan bubur lambuk yang dirancang diadakan pada setiap Ahad sepanjang Ramadan kali ini.

“Terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan yang menyediakan peruntukan RM500 untuk setiap kali masak,” katanya ketika ditemui pada program memasak bubur itu di masjid berkenaan semalam.

Yang turut hadir, Nor Azman dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Samad Ali, 68.

Sebanyak 10 kilogram beras, udang segar, susu cair, kacang kuda dan santan diadunkan untuk menghasilkan bubur lambuk sebelum diagihkan kepada anggota komuniti selepas solat Asar.

Bekas anggota Unit 21 Komando Regimen Gerak Khas itu kehilangan pergelangan tangan kanan manakala pergelangan tangan kiri cacat kekal, akibat terkena jerangkap samar pengganas komunis.

KACANG dibersihkan sebelum dicampur dalam bubur lambuk.

Beliau mengalami kemalangan itu ketika menyertai Ops Gubir II bersama 44 anggota yang lain dalam hutan sempadan Kedah/Thailand pada jam 10 pagi, 21 April 1976.

“Kejadian itu menyebabkan saya putus pergelangan tangan manakala pergelangan tangan kiri cacat kekal, selain dua rakan putus kaki,” katanya.

Yaacob berkata, beliau dan rakannya kehilangan banyak darah dan sukar untuk dibawa keluar dari kawasan kejadian kerana hutan tebal yang menyukarkan helikopter mendarat.

Katanya, beliau berbangga kerana walaupun terpaksa menghadapi ancaman lebih 1,000 pengganas komunis, kejayaan tetap bersama anggota pasukan keselamatan negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1229
Kongsi :
Previous post Kereta nadi berniaga rentung
Next post 1,500 bungkus air dan kurma habis dalam 15 minit
Ubah saiz-+=