3 ‘uptown’ mega rancakkan suasana malam Bandaraya Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 26 Saat

BANDA HILIR 28 Feb – Sebanyak tiga tapak perniagaan berkonsep ‘uptown’ bakal dibuka Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dalam usaha memperkasa bidang keusahawanan dan menyokong peniaga kecil, selain merancakkan pelancongan di negeri ini.

Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Abu memaklumkan tarikan perniagaan terbaharu itu ialah Sungai Melaka Vintage di Dataran Sungai Melaka; Bazar Kotalokal di Padang Dataran Pahlawan dan Melaka Raya Uptown and Back Street Food Centre di Jalan Melaka Raya 14.

Menurutnya, ketiga-tiga lokasi itu menawarkan keseluruhan 264 tapak perniagaan yang mana kesemuanya di bawah pengurusan dan kendalian MBMB.

“Menyedari konsep Uptown merupakan antara trend terkini tempat perniagaan yang semakin digemari ramai, maka MBMB telah menyediakan tiga buah lokasi di tengah Bandaraya Melaka bagi memberi ruang dan peluang kepada peniaga kecil untuk menjana pendapatan bagi tujuan kelangsungan hidup usai pandemik COVID-19 selain turut menyokong konsep Melaka Bebas Berniaga yang dilaungkan oleh Kerajaan Negeri.

“Ia juga bagi menyokong pelaksanaan Manifesto 100 hari Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka di bawah Pelaksanaan Teras 2: Lonjakkan Ekonomi Baharu Menyokong Kelangsungan Perniagaan Negeri Melaka.

“Pada masa sama ia menjayakan Flagship 5 dalam Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 : Melaka Negeri Usahawan, serta hala tuju kerajaan negeri untuk memperkasakan keusahawanan secara komprehensif dan inklusif menuju Negeri Lestari 2035,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini sejumlah 144 lesen perniagaan telah dikeluarkan kepada peniaga yang mematuhi syarat-syarat permohonan lesen.

Jelasnya, antara jenis perniagaan yang ditetapkan di ketiga-tiga lokasi ialah jualan barangan antik, penjualan makanan dan minuman, pakaian dewasa dan kanak-kanak, mainan kanak-kanak, barangan kraftangan dan pelbagai lagi dengan harga yang berpatutan.

“Bazar ini akan beroperasi tiga hari seminggu iaitu pada Jumaat hingga Ahad dan waktu operasinya adalah pada jam 5 petang hingga 12 tengah malam,” katanya.

SEKITAR gimik pelancaran Uptown Sungai Melaka Vintage Night Market dan Bazar Kotalokal baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Zainal memaklumkan setakat ini Bazar Kotalokal di Padang Dataran Pahlawan masih terdapat kekosongan 70 tapak perniagaan dengan sewaan RM400 sebulan untuk khemah dan punca kuasa elektrik.

Bagi Sungai Melaka Vintage Night Market, sewaan yang dikenakan adalah RM20 per malam, manakala Melaka Raya Uptown and Back Street Food Centre pula pihak penganjur menawarkan sewaan RM300 sebulan termasuk penyediaan khemah, punca kuasa elektrik, apron dan sanitizer untuk kemudahan peniaga.

“Pelancaran ketiga-tiga uptown ini adalah bertepatan pada masanya memandangkan umat Islam bakal menyambut bulan Ramadan al-Mubarak tidak lama lagi. Saya percaya pihak penganjur telah merencanakan pelbagai bentuk aktiviti untuk merancakkan lagi aktiviti perniagaan masing-masing.

“Saya berharap, dengan kemudahan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan negeri dan MBMB, para peniaga dapat memanfaatkan peluang ini dengan sebaik mungkin,” katanya.

Bagi peniaga yang ingin membuat pendapatan sampingan menerusi penganjuran ‘uptown tersebut bolehlan menghubungi pihak penganjur; Diana : 017 – 2551107 (Sungai Melaka Vintage Market), Acid : 011 – 10197557 (Bazar Kotalokal, Dataran Pahlawan) dan Shafie : 019 – 6885854 (Melaka Raya Uptown And Back Street Food Centre).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3774
Kongsi :
Previous post KPT pantau pelajar Malaysia di Rusia dan Ukraine
Next post Beberapa aktiviti pelancongan dihadkan selepas Pulau undan diwartakan
Ubah saiz-+=