30 cenderahati untuk ibu ‘anak merdeka’

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

BUKIT PALAH 31 Ogos – Sebanyak 30 cenderahati diberikan kepada bayi yang dilahirkan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64 di Hospital Melaka (HM) hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Bukit Katil, Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, program berkenaan turut dianjurkan bersama Ahli Lembaga Pelawat Hospital Melaka (HM).

Katanya, pemberian cenderahati itu diberikan sebagai menyuntik semangat kepada ibu yang melahirkan cahaya mata pada musim pandemik ini.

“Pada musim COVID-19 ini, ibu yang mengandung lebih berisiko untuk terdedah dengan pelbagai penyakit terutama COVID-19, jadi sebagai penghargaan kepada ibu kerana mengharungi proses kelahiran dalam waktu mencabar ini, kita berikan cenderahati kepada mereka.

“Ia sebagai satu suntikan semangat kepada mereka kerana berjaya mengharungi cabaran itu dengan selamat,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini hari ini.

MOHD Ridhwan Mohd Ali

Terdahulu, Mohd Ridhwan mengunjungi hospital berkenaan dan menyerahkan sumbangan cenderahati itu kepada doktor dan jururawat Wad Bersalin HM.

Hadir sama, Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat HM Datuk Mohd Rosli Hasan.

Mengulas lanjut, Mohd Ridhwan berkata, pihaknya dimaklumkan oleh hospital berkenaan, anggaran ibu yang melahirkan adalah seramai 30 bayi sehari.

“Ketika lawatan kami kira-kira jam 10 pagi tadi, seramai lapan bayi selamat dilahirkan namun kemungkinan ada lagi bayi yang akan dilahirkan sehingga lewat malam ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

975
Kongsi :
Previous post Kudung tangan bukan alasan tak kibar Jalur Gemilang
Next post Penafian gambar Ketua Menteri dalam iklan produk
Ubah saiz-+=