30 kumpulan berentap rebut gelaran juara perahu naga

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

PENGKALAN BATU 9 Jun – Sebanyak 30 kumpulan berentap bagi merebut gelaran juara Pertandingan Malaysia-China Dragon Boat Regatta 2024 di Dataran Melaka Sentral Riverfront, hari ini.

Menurut kenyataan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka para pemenang ditawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM13,200.

“Terdapat dua kategori dipertandingankan iaitu Kategori Lelaki dan Campuran melibatkan seramai 400 peserta daripada 30 kumpulan itu.

“Pertandingan ini disertai peserta dari Negara China dan peserta domestik dari Selangor, Pulau Pinang dan Melaka.

“Johan bagi setiap kategori akan menerima piala kemenangan, pingat dan wang tunai RM3,000, tempat kedua piala kemenangan, pingat dan wang tunai RM1,500 manakala tempat ketiga piala kemenangan, pingat dan wang tunai RM1,000.

“Tempat keempat turut menerima piala kemenangan, pingat dan wang tunai RM500, manakala bagi tempat kelima hingga kelapan menerima pingat dan wang tunai RM150,” katanya.

Kata kenyataan itu, pemilihan Sungai Melaka sebagai lokasi program kerana lokasinya strategik dan mempunyai fasiliti yang mencukupi bagi penganjuran program.

“Ini mampu menarik pengunjung untuk melihat dengan lebih dekat perlumbaan perahu naga dan program yang diadakan,” katanya.

Pertandingan adalah anjuran bersama Bahagian Promosi Pelancongan, Jabatan Ketua Menteri Melaka, Persatuan Perahu Naga Negeri Melaka, Galeri Seni Zheng He Duo Yun Xuan dan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Negeri Melaka (PPSPM).

Terdahulu majlis pelepasan peserta pertandingan disempurnakan oleh Pengurus Besar BPP Melaka, Sa’ari Basiron.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan dan Kewangan PPSPM Khairunnisa Ibno Masooda, menjalankan tugas Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM dan Pengurus Sungai Melaka Ventures Sdn Bhd, Nur Azan Hassan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

344
Kongsi :
Previous post Nahas bas Rompin: Panggilan video perbualan terakhir bersama isteri
Next post Melaka tuan rumah Piala Emas Raja-Raja Edisi ke-102
Ubah saiz-+=