3,000 anak muda dijangka meriahkan Hari Belia Melaka, Oktober depan

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 3 Sept. – Seramai 3,000 anak muda disasarkan akan memeriahkan sambutan Hari Belia Negara peringkat Negeri Melaka yang dijadual berlangsung pada penghujung Oktober depan.

Pengerusi Jawatankuasa NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, mengikut perancangan sambutan berkenaan bakal diadakan di dua kawasan Parlimen negeri ini iaitu di Parlimen Masjid Tanah dan Tangga Batu.

Menurutnya, program berkenaan merupakan ajuran bersama Kerajaan Negeri Melaka bersama-sama Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka dan Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM)

“Pada peringkat awal Hari Belia Negara peringkat Negeri Melaka kita rangka pada September, tapi akhirnya kita telah tunda kepada penghujung Oktober yang mana tarikhnya akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

“Lokasi ditetapkan di Parlimen Masjid Tanah dan Tangga Batu yang mana kita sedang adakan perbincangan untuk kenal pasti program-program yang akan diadakan di kedua-dua lokasi itu nanti.

“Program ini akan dirasmikan sendiri Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali dan akan diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Post Exco NGO, Pembangunan Belia dan Sukan Negeri di Bilik Mesyuarat Tun Fatimah di Seri Negeri. Hadir sama, Pengarah JBS Negeri Noorman Ramlan.

Mengulas mengenai aktiviti yang akan dijalankan dalam Hari Belia tersebut, Mohd Rafiq berkara ia merangkumi aktiviti-aktiviti membabitkan Pelan PENJANA, sukan elektronik, berbasikal, acara konvoi motosikal dan pelbagai lagi yang mencakupi pelbagai aspek seperti ekonomi, pendidikan, kebajikan dan perumahan belia.

“Kita juga akan berbincang bersama MGBM untuk mewujudkan karnival kerjaya di bawah segmen ekonomi untuk memastikan ada peluang ekonomi untuk para belia.

“Diharap program-program yang dijalankan ini dapat memenuhi aspirasi belia Negeri Melaka,” katanya lagi.

Views:

545
Kongsi :
Previous post 13 premis perjudian dipotong bekalan elektrik
Next post JPJ Melaka rekodkan RM294,805 kutipan saman
Ubah saiz-+=