13 premis perjudian dipotong bekalan elektrik

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

JASIN 2 Sept. – Polis Jasin memotong bekalan elektrik di 13 premis rumah kedai yang dikenal pasti menjalankan aktiviti perjudian dalam talian dan judi ekor di sekitar Pekan Merlimau, di sini, hari ini.

Operasi itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bermula jam 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, aktiviti perjudian itu dikesan kembali aktif selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut beliau, sehingga hari ini sebanyak 24 premis yang menjalankan aktiviti perjudian sudah diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik dalam dua operasi berasingan pada 3 Julai lalu dan hari ini.

“Premis ini dipercayai berselindung disebalik aktiviti perniagaan lain seperti kedai telefon bimbit yang mana dibahagian belakang pula berlaku jualan tambah nilai judi dalam talian.

“Selain memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa, ada antara premis ini juga menyediakan lubang kecil pada pintu belakang bagi memudahkan operasi haram mereka itu,” katanya.

Menurutnya, turut ditahan dalam operasi itu seorang lelaki penjaga premis dipercayai warga asing kerana didapati mengemukakan kad pengenalan palsu dan dia disiasat mengikut Seksyen 25 Akta Pendaftaran Negara 2007.

Mengulas lanjut Mispani berkata, berdasarkan statistik sebanyak 64 serbuan telah dilakukan dan 83 individu ditangkap dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

“Mereka yang ditahan berusia antara 23 hingga 56 tahun dan disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953,” katanya.

Views:

689
Kongsi :
Previous post SPRM kumpul maklumat isu pencerobohan tanah haram di Raub
Next post 3,000 anak muda dijangka meriahkan Hari Belia Melaka, Oktober depan
Ubah saiz-+=