Khairy janji pikul amanah bersungguh demi Keluarga Malaysia
KUALA LUMPUR 27 Ogos – Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan pelantikannya sebagai Menteri Kesihatan sebagai satu amanah yang sangat berat.
Menerusi ciapan di Twitternya, bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu turut berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas kepercayaan diberikan kepadanya untuk menganggotai Kabinet baharu.
Beliau berjanji akan melaksanakan tugas diamanahkan dengan bersungguh-sungguh.
“Terima kasih kepada YAB PM @IsmailSabri60 atas kepercayaan yang diberi. Insya-Allah amanah yang sangat berat ini akan saya pikul dengan bersungguh demi Keluarga Malaysia,” katanya.
Untuk rekod Khairy Jamaluddin bukan tokoh politik pertama bukan berkelulusan perubatan dilantik sebagai Menteri Kesihatan.
Sekadar menyebut nama tertentu antaranya, Datuk Chua Jui Meng berkelulusan undang-undang dan Datuk Seri Liow Tiong Lai (sains) pernah dilantik sebagai Menteri Kesihatan.
Kelebihan Khairy Jamaluddin yang berkelulusan Sarjana Muda Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Universiti Oxford, England adalah pengalamannya secara langsung mengendalikan pandemik COVID-19 di negara ini dalam Kabinet lepas.
Antaranya beliau juga adalah Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan turut menguruskan perolehan vaksin dari luar negara.
Beliau juga sering mengadakan sidang media bersama bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba yang kini bertukar portfolio dengannya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.