40 perahu naga berentap di Sungai Melaka, 2 Julai ini

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BANDA HILIR 19 Jun – Sebanyak 40 pasukan bakal berentap pada Pertandingan Perahu Naga yang akan diadakan pada 2 Julai depan.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, setakat ini, pihaknya masih membuka penyertaan kepada pasukan yang berminat untuk memeriahkan lagi pertandingan berkenaan.

“Perahu Naga ini dikategorikan dalam subsektor pelancongan berasaskan sukan.

“Menerusi pertandingan ini juga kita dapat mengekalkan warisan sukan tradisi supaya dapat dinikmati oleh generasi pada masa akan datang dan warisan ini harus terus dipelihara sama seperti aset warisan lain agar tidak hilang ditelan zaman.

“Saya dimaklumkan, Perarakan Perahu Naga Melaka 2023 kali ini akan disertai oleh semua peringkat umur dari seluruh Melaka dan satu kumpulan dari China,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Perarakan Perahu Naga Melaka 2023 di Dataran Persahabatan Malaysia-China, Lorong Hang Jebat, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Badaruddin Mohd Kassim
dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) negeri, Sa’ari Basiron.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Negeri Melaka (PPSPM), Datuk Tpr. Murad Husin dan Pengerusi Persatuan Perahu Naga Melaka, Datuk Wong Soo Tang.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata Perlumbaan Perahu Naga Melaka 2023 yang akan diadakan pada Julai depan bertempat di River Information Centre (RIC), Pengkalan Rama.

“Dengan penglibatan lebih dari 40 penyertaan, pertandingan ini akan terbahagi kepada dua kategori yang dipertandingkan iaitu kategori terbuka dan tertutup.

“Harapan saya penganjuran program seperti ini dapat diteruskan pada tahun hadapan dengan penyertaan dari seluruh rakyat Negeri Melaka dan Malaysia, sekali gus membantu mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan yang wajib dilawati,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1363
Kongsi :
Previous post Melaka anjur 64 acara menjelang TMM2024
Next post Bina replika asal Kapal Mendam Berahi sebelah Muzium Kapal Selam
Ubah saiz-+=