40 peratus muka baharu, 60 peratus ‘orang lama’ ramuan kemenangan BN – Ismail Othman

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

KUALA LINGGI 2 Nov – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Datuk Wira Ismail Othman mencadangkan calon Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka terdiri daripada 40 peratus muka baharu dan 60 peratus muka lama.

Katanya, aspek berkenaan perlu diberi perhatian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Perhubungan UMNO negeri dalam membuat pemilihan calon mewakili parti.

Beliau berkata, 40 peratus calon terbabit harus yang muda, profesional dan berwibawa, selain yang diyakini mampu menang bagi memikul tanggungjawab memajukan kawasan masing-masing.

“Bagaimanapun, muka lama jangan dibuang semua kerana tanpa mereka, siapa yang hendak mempertahankan kerajaan negeri daripada cabaran pembangkang dan membuat kerja memajukan negeri?

“Calon muda boleh menimba pengalaman daripada orang lama dan orang lama pula harus mencurahkan pengalaman membantu memajukan negeri ini kepada yang baharu,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kit makanan kepada nelayan di Jeti Nelayan Kampung Telok Gong, di sini hari ini.

Beliau berkata, ia bukan bermakna muka lama ingin kekal selama-lamanya, sebaliknya harus diberikan peluang untuk terus berkhidmat untuk rakyat berasaskan pengalaman yang ada pada mereka.

“Saya sendiri senang sahaja, kalau diberi amanah untuk bertanding (PRN), saya terima dan kalau sebaliknya, serahkan kepada muka baharu dan saya akan tetap membantu kejayaan calon BN,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

439
Kongsi :
Previous post KM arah kerja awal atasi banjir bermula esok
Next post Sistem pintar pendekkan masa perjalanan ke Bandaraya Melaka
Ubah saiz-+=