KM arah kerja awal atasi banjir bermula esok

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

AYER KEROH 2 Nov – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) diarahkan untuk mempercepatkan projek tebatan banjir bagi mengatasi masalah itu dalam tempoh jangka pendek.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pihaknya mengarahkan MHPTJ dan JPS serta syarikat jurutera perunding untuk mengadakan mesyuarat melibatkan wakil penduduk selain kerja-kerja projek itu perlu dilaksanakan esok.

“Pagi ini saya mengadakan lawatan mengejut di Taman Bukit Beruang Bistari, Ayer Keroh, bagi melihat sendiri keadaan dan punca banjir di kawasan perumahan itu.

“Saya juga mengambil maklum aduan dan pandangan disuarakan oleh saudara Adlan Ali, wakil penduduk di Jalan BBB 4, Jalan BBB 5 dan Jalan BBB 6 di Taman Bukit Beruang Bistari yang mahu wakil penduduk dilibatkan sama bagi projek tebatan banjir di kawasan itu.

“Jadi, saya sudah mengarahkan MPHTJ, JPS Melaka dan syarikat jurutera perunding untuk segera mengadakan mesyuarat dengan melibatkan sama wakil penduduk.

“Saya juga mahu pastikan esok juga kerja awal dapat dibuat bagi mengatasi permasalahan banjir bagi tempoh jangka masa pendek,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Taman Bukit Beruang Bistari yang turut dihadiri Yang Dipertua MPHTJ Datuk Shadan Othman.

Dalam pada itu, menurut Sulaiman, berikutan taburan hujan Melaka berlaku diluar jangka yang membuatkan fenomena banjir kerap berlaku.

Justeru, pihaknya menyarankan penyelesaian jangka pendek perlu dilakukan segera.

“Kebiasaan di Melaka taburan hujan sekitar 30 hingga 40 milimeter namun hujan lebat yang berlaku sebelum ini taburannya cukup tinggi sehingga 136 milimeter.

“Kita sudah ada tebatan banjir untuk jangka panjang tapi itu ambil masa yang agak lama yang mungkin makan masa dua tiga tahun untuk disiapkan.

“Jadi, untuk peringkat awalan ini penyelesaian jangka pendek perlu diselesaikan oleh pihak pihak terlibat ini sebelum kita dapat siapkan projek mega ini,” tegasnya.

Sementara itu, wakil penduduk Adlan Ali,40, bersyukur sekiranya dilema bertahun-tahun masalah banjir yang dialami penduduk di kawasan itu diselesaikan segera.

ADLAN

Dakwanya, masalah banjir yang berlaku sejak 2013 mungkin berpunca dari kawasan tadahan yang tidak diketahui pemilikan dan statusnya hingga menyebabkan air terperangkap di kawasan perumahan itu.

“Bukti paling nyata di sepanjang Jalan BBB 6 ini disebelahnya adalah sungai tapi takda limpahan air sungai pun.

“Ramai penduduk kecewa dan tidak ada tempat mengadu sehinggakan mereka terpaksa berpindah sebab tak mahu menganggung kerugian yang diterima bertahun tahun,” luahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

466
Kongsi :
Previous post Melaka umum rebat 15 peratus bil air untuk pengguna terjejas banjir
Next post 40 peratus muka baharu, 60 peratus ‘orang lama’ ramuan kemenangan BN – Ismail Othman
Ubah saiz-+=