412 PPV ditambah di bawah PICKids – Dr Noor Azmi

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Sebanyak 412 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ditambah di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) untuk pelaksanaan program itu secara jumpa terus (walk-in).

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dalam kenyataan di sini hari ini berkata kesemua PPV tambahan itu diwujudkan dengan mengambil peluang sempena cuti sekolah yang bermula sejak 26 Feb lepas.

“Semasa cuti sekolah ini, ibu bapa yang belum mempunyai janji temu vaksinasi untuk anak-anak berusia lima hingga bawah 12 tahun digalakkan membawa anak ke PPV berdekatan secara walk-in untuk menerima vaksinasi.

“Sekiranya kuota vaksinasi untuk kanak-kanak pada hari tersebut telah habis di PPV yang dihadiri, ibu bapa boleh memilih untuk datang semula ke PPV tersebut pada keesokan hari atau boleh mendaftarkan anak untuk dapatkan slot vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera,” katanya.

Dr Noor Azmi berkata ibu bapa atau penjaga yang mendaftarkan anak untuk menerima vaksin pula akan menerima pautan tempahan janji temu dengan tarikh dan lokasi vaksinasi boleh dipilih mengikut kesesuaian waktu mereka.

Pelaksanaan PICKids secara jumpa terus telah bermula pada 1 Mac lepas di beberapa PPV di Lembah Klang iaitu PPV Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), PPV Axiata, PPV IDCC dan PPV Soka Gakkai.

Setakat semalam, sebanyak 929,733 individu atau 26.2 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui PICKids yang dimulakan sejak 3 Feb lepas.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1088
Kongsi :
Previous post Isu Bukit Melaka: ‘ADUN Banda Hilir perlu belajar sejarah’
Next post Melaka cadang warta larangan projek pembangunan di kawasan ‘wetland’
Ubah saiz-+=