Isu Bukit Melaka: ‘ADUN Banda Hilir perlu belajar sejarah’
SERI NEGERI 3 Mac – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 hari ini kecoh dengan isu pertukaran nama Bukit St Paul kepada nama asalnya Bukit Melaka.
Isu itu dibangkitkan Leng Chau Yen (DAP-Banda Hilir) yang mempersoal tindakan penukaran nama tersebut kerana didakwa sebagai satu cubaan untuk menukar sejarah.
Namun EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis bingkas menjawab soalan berkenaan dengan menjelaskan pertukaran nama itu adalah berikutan Bukit Melaka merupakan nama asal yang termaktub dalam sejarah Melayu Melaka sebelum ketibaan penjajah.
Beliau berkata, pertukaran nama itu juga sama sekali tidak menukar sejarah, bahkan nama gereja Bukit St Paul yang terdapat di bukit berkenaan turut dikekalkan.
“Pada saya pertukaran nama itu merupakan satu ‘value added’ kepada Melaka. Kenapa kita mahu ikut nama yang diberikan penjajah? Jika di Beijing, nama penjajah dihapuskan kenapa kita tak mahu bangga jadi bangsa Melaka?
“Perspektif Yang Berhormat (Banda Hilir) kena betul. Kita kena berjiwa Malaysia, bukan berjiwa penjajah.
“Saya minta Yang Berhormat Banda Hilir belajar sejarah dahulu sebelum mencaci,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.