438 mangsa banjir di Melaka setakat 8 malam

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

MELAKA 18 Dis – Jumlah mangsa banjir di Melaka terus meningkat malam ini menjadi 438 orang setakat jam 8 malam tadi, kata Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka.

Pengarah APM Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin berkata, setakat ini sebanyak 10 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka iaitu membabitkan sembilan di daerah Alor Gajah dan satu di daerah Melaka Tengah.

Katanya, sembilan PPS di daerah Alor Gajah melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal, SK Telok Berembang, SK Cherana Putih, Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Jelatang, SMK Lubok China, SK Belimbing Dalam dan Balai Raya Kg Paya Lebar.

Manakala, PPS di Melaka Tengah pula ialah di Balai Raya Kampung Lanjut Manis yang baharu sahaja dibuka pada jam 7 malam tadi.

“Jumlah mangsa banjir yang paling ramai ialah di PPS SK Belimbing Dalam yang menempatkan seramai 103 mangsa setakat 8 malam ini, diikuti SMK Telok Berembang dengan 85 mangsa dan SMK Seri Pengkalan 68 mangsa,” katanya.

Menurutnya setakat ini, Melaka Tengah menjadi daerah paling terjejas dengan banjir iaitu melibatkan 14 kawasan.

Ia meliputi Taman Bukit Beruang Melawis, Batu Hampar Peringgit, Malim Jaya, Hang Tuah Mall, Jalan Ong Kim Wee, Kampung Enam, Melaka Baru, Kg Sungai Putat, Empangan Klebang, Taman Merdeka, Kampung Morten, Kampung Hulu dan Kampung Cheeti.

Manakala daerah Alor Gajah melibatkan 10 kawasan iaitu di Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Jeram, Kampung Taboh Naning, Pekan Lubok China, Ramuan Besar China, Taman Seri Bayu, Kampung Pengkalan, Kampung Panchor dan Kampung Beringin.

Sementara, Jasin kekal dengan hanya satu kawasan sahaja terjejas iaitu di Lubuk Kasau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1442
Kongsi :
Previous post Mangsa banjir di PPS akan disaring, elak kluster COVID-19 – Khairy
Next post Hujan lebat diramal berterusan esok – MetMalaysia
Ubah saiz-+=