45 penjawat awam, pesara rugi lebih RM2 juta diperdaya ‘scammer’

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

JASIN 9 Ogos – Seramai 45 penjawat awam dan pesara di daerah ini menjadi mangsa penipuan dalam talian berdasarkan laporan diterima polis bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, jumlah kerugian dialami kesemua mangsa setakat ini berjumlah RM2,555,534.98.

Katanya, sepanjang tempoh sama tahun lalu pula seramai 39 penjawat awam dan pesara dilaporkan menjadi mangsa ‘scammer’.

“Kami jangka penipuan dalam talian ini akan terus merekodkan peningkatan, scammer menjadikan penjawat awam dan pesara sebagai sasaran kerana memiliki kewangan yang stabil.

“Ramai dalam kalangan mangsa terpedaya dengan modus operandi seperti menjanjikan pinjaman wang dan pelaburan sebenarnya tidak wujud,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Sepetang Hari Pesara Peringkat Negeri Melaka, Daerah Jasin.

Program berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin, di sini, semalam, turut dihadiri Pengerusi Pertubuhan Pesara Kerajaan Malaysia (KUPEKMAS), Datuk Omar Osman dan Pengerusi KUPEKMAS Melaka, Hamidah Ahmad.

Berikutan itu Ahmad Jamil, menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila menerima panggilan daripada pihak tidak dikenali menawarkan skim pelaburan atau sebarang urusan membabitkan transaksi kewangan.

“Selain itu jangan mudah terpengaruh dengan tawaran pembelian barangan pada harga murah atau menjanjikan bulan dan bintang kerana dibimbangi ia adalah taktik scammer.

“Kita harap masyarakat khususnya golongan pesara kerajaan peka dan tidak melakukan pemindahan wang kepada individu tidak dikenali dan lebih berhati-hati menerusi penggunaan telefon bimbit ketika melayari internet,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2352
Kongsi :
Previous post Pasar ditutup 14 hari, premis ada najis tikus
Next post Sasar 50 peratus peniaga Melaka beralih kepada ‘cashless’
Ubah saiz-+=