49 tahun pukul beduk Masjid Kampung Hulu

Masa Membaca:2 Minit, 46 Saat

KOTA LAKSAMANA 23 April. – Masjid Kampung Hulu di Jalan Kampung Hulu, Kampung Dua dekat sini, sehingga kini masih mengamalkan tradisi memukul beduk sebagai tanda masuknya waktu berbuka puasa.

Walaupun mungkin ramai menyifatkan aktiviti itu sudah tidak relevan dengan peredaran zaman yang kini menggunakan pembesar suara untuk melaungkan azan Maghrib tanda masuknya waktu berbuka, namun bagi noja Masjid Kampung Hulu, Abdullah Abdul Kadir, 71, tradisi itu perlu dipelihara untuk generasi masa kini.

Malah, Abdullah cukup selesa melakukan tugas itu sejak dilantik menjadi seorang daripada pegawai syarak masjid tua berusia 293 tahun itu pada 1972.

PETUGAS Masjid Kampung Hulu menyediakan makanan bungkus kepada jemaah untuk berbuka puasa dalam norma baharu.

 

Dia yang menetap di Kampung Morten berkata, tugas sebagai pemukul beduk bukanlah suatu tugas yang boleh dipandang rendah memandangkan ia bersangkut paut dengan hukum agama.

Jelasnya, jika beduk dibunyikan lebih awal daripada waktu sebenar berbuka puasa, puasa kariah dan seluruh masyarakat di kawasan sekitar akan terbatal seperti mana yang berlaku di Masjid Al-Khairiyah, Taman Seri Gombak, Selangor baru-baru ini.

“Sebab itulah tugas ini agak mencabar kerana ia satu amanah besar kepada saya. Sejak dari awal menjadi noja memang saya lebih selesa memikul amanah dan tanggungjawab ini kerana saya tidak mahu berlaku kesilapan dalam mengumumkan masuknya waktu berbuka puasa bagi umat Islam.

“Seperti di masjid ini, kebiasaannya sebelum memukul beduk, kami terlebih dahulu akan memasang rakaman tazkirah daripada Mufti Melaka dan selepas itu membacakan doa makan terlebih dahulu sebelum saya memukul beduk yang berada di astaka masjid.

“Selepas beduk dipalu, bilal akan meneguk air terlebih dahulu dan seterusnya barulah azan Maghrib akan dilaungkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Abdullah berkata, selain tradisi memukul beduk, masjid berkenaan juga masih meneruskan tradisi berbuka puasa beramai-ramai selepas menunaikan solat Maghrib.

Bagaimanapun, dia mengakui suasana berbuka puasa sejak negara dilanda pandemik COVID-19 sedikit berbeza apabila rutin kebiasaan berbuka dengan makan di dalam talam terpaksa dihentikan sementara waktu.

“Apabila Tarawih dibenarkan bermula tahun ini, kami terpaksa melupakan tradisi turun temurun makan di dalam talam dan terpaksa menggunakan kaedah pemberian makanan bungkus kepada jemaah bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Kebiasaannya setiap hari 300 bungkusan makanan disediakan hasil sumbangan orang ramai dan juga dana daripada masjid ini sendiri.

“Walaupun begitu, suasana berbuka puasa di sini masih lagi meriah dengan kehadiran penduduk setempat, selain turut melibatkan kedatangan musafir yang mahu berbuka puasa,” ujarnya.

Tidak terhad di situ, Abdullah berkata, program keagamaan seperti ceramah agama, tazkirah dan alunan selawat turut menghidupkan lagi keberkatan bulan mulia di masjid berkenaan sepanjang Ramadan tahun ini.

Selain itu, program qiamullail juga akan diadakan bermula malam ke-21 sehinggalah malam ke-29 Ramadan.

“Walaupun lokasi masjid ini di tengah bandar, namun sepanjang Ramadan banyak aktiviti keagamaan yang kita laksanakan dan sambutan daripada jemaah juga masih menggalakkan sehingga ke hari ini,” katanya lagi.

Untuk rekod, Masjid Kampung Hulu dibina pada tahun 1728 ketika era penjajahan Belanda.

Dikhabarkan masjid tersebut dibina oleh seorang pedagang China yang diselamatkan penduduk kampung pada kurun ke-17 yang kemudiannya dilantik untuk menghasilkan reka bentuk seni bina masjid berkenaan.

Maka, tidak hairanlah struktur masjid berkenaan mempunyai ciri-ciri zaman Dinasti Ching terutama pada bahagian bumbung dan jubin seramiknya, selain turut turut digabungkan dengan pengaruh Jawa dan Melayu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2270
Kongsi :
Previous post Dua pengawal peribadi dibelasah majikan dijadikan ‘keluarga angkat’ Bersatu Klang
Next post ‘Iftar romantik’ Sungai Melaka
Ubah saiz-+=