50 periuk Ponggal curi perhatian pelancong

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

BANDA HILIR 27 Januari – Kira-kira 1,000 peserta memenuhi perkarangan bangunan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan bagi menyertai pertandingan memasak menggunakan 50 periuk tanah sempena Pesta Ponggal.

Pertandingan Memasak Ponggal itu nyata mencuri perhatian pelancong yang berkunjung ke kawasan terbabit sekali gus tidak melepaskan peluang mereka untuk melihat acara tersebut.

Pertandingan itu turut disertai kaum lain bagi bersama-sama menghayati keunikan budaya dalam perayaan yang disambut masyarakat India pada 15 Januari lalu.

Panas terik sekitar jam 4 petang tadi tidak mematahkan semangat peserta berentap merebut gelaran juara bagi menghasilkan masakan ponggal yang menjadi simbolik kepada hari istimewa masyarakat India.

Seorang peserta, S. Komathi, 44, berkata, keluarganya teruja untuk menyertai pertandingan itu semata-mata untuk mendedahkan tradisi yang menjadi kelaziman buatnya kepada seluruh kaum lain sekali gus mampu merancakkan lagi kepelbagaian budaya negeri ini sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Katanya yang berasal dari Ayer Molek, cuaca panas tidak menjadi penghalang berikutan tradisi itu perlu dilakukan di bawah cahaya matahari sebagai tanda meraih keberkatan dan berdoa sempena sambutan tahun baharu dalam kalendar masyarakat India.

“Ponggal ini disambut selama sebulan di mana ia boleh diraikan sehingga 15 Februari depan sebagai memberi penghayatan kepada kesyukuran dan sebagainya.

“Saya begitu teruja sebab budaya ini kita sama sama bantu untuk didedahkan agar selari dengan semangat muhibah dan perpaduan kepelbagaian kaum di negara ini.

“Simbolik perayaan ini bukanlah melibatkan kepercayaan agama tetapi ini adalah tradisi dan budaya dalam masyarakat India yang perlu disambut setiap tahun terutama pada waktu pagi menjelang hari pertama Pesta Ponggal,” katanya.

90e7d2c1 6e36 46dc A15d 6a66594dd67f
Masyarakat Cina turut memeriahkan Pertandingan Memasak Ponggal.

Terdahulu, Program Sambutan Ponggal sempena TMM2024 diadakan bermula jam 3 petang tadi telah disempurnakan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP Shanmugam dan Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Banda Hilir, Leng Chau Yen.

Selain memasak, turut diadakan beberapa pertandingan lain seperti mewarna, anyaman daun kelapa (Thoranai) serta pelbagai lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

947
Kongsi :
Previous post Jualan Rahmah jadi tumpuan orang ramai pada Program Jiwa Madani
Next post Melaka tamatkan kemarau 35 tahun, muncul johan Piala Emas Khir Johari
Ubah saiz-+=