50 usahawan Melaka dipilih jana ekonomi logistik

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

MERLIMAU 30 Mei – Seramai 50 usahawan logistik tempatan berpeluang menjana ekonomi serta menerima kontrak tetap untuk mengangkut pasir silika dalam tempoh lima tahun menerusi Program Pembangunan Keusahawanan Kecil Perkhidmatan Logistik.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, kesemua usahawan logistik yang terpilih itu akan membawa bekalan bahan mentah dari Semenanjung Malaysia kepada Syarikat Xinyi Glass Sdn. Bhd.

Katanya, menerusi program tersebut, peserta dapat meningkatkan pendapatan secara langsung, selain dapat memiliki kenderaan logistik yang dibekalkan selepas tempoh lima tahun.

“Program keusahawanan logistik yang dijalankan oleh syarikat konglomerat ini merupakan yang pertama di Melaka.

“Dimaklumkan anak syarikat kepada Xinyi Glass iaitu Xin Yun Logistics (Malaysia) Sdn Bhd telah melabur modal permulaan sebanyak RM35 juta untuk perolehan kenderaan-kenderaan logistik beserta kelulusan yang diperlukan daripada jabatan berkaitan.

“Malah, turut dimaklumkan jika program usahawan itu berjaya pihak syarikat akan menambah sebanyak 100 buah lori lagi bagi menggalakkan lebih ramai usahawan-usahawan kecil untuk menyertai inisiatif transformatif ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Pembangunan Keusahawanan Kecil Perkhidmatan Logistik di Kilang Xinyi Glass Lipat Kajang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Timbalan Pengerusi Perbadanan Melaka (MCORP), Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Penasihat Khas Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Lim Ban Hong; Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Negeri Melaka; Jaibalan Harirajan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Xinyi; Tan Sri Gary Tung.

Turut hadir, Pengarah Urusan Xinyi Energy Smart (M) Sdn Bhd, Datuk Sin Ket Hin; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Mohd Shaiful Hizam Johan dan Pengurus Perancangan Perindustrian MCORP, Hairulzamani Othman.

Pada majlis tersebut, seramai 50 usahawan logistik menerima kunci kenderaan daripada Syarikat Xin Yun Logistics (Malaysia) Sdn Bhd.

Mengulas lanjut, Rais berkata syarikat Xin Yun merupakan contoh yang terbaik kerana pelaburan besar yang dibawa ke Melaka sejak 10 tahun lalu menunjukkan impak yang sangat memberangsangkan terhadap pembangunan ekonomi negeri.

“Saya harap lebih banyak syarikat konglomerat seumpama ini dapat mengadakan program keusahawanan seperti ini.

“Saya juga menyeru kepada usahawan untuk menggunakan peluang yang diberi sebaik-baiknya untuk memajukan diri, membangun bersama-sama memakmurkan ekonomi negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

145
Kongsi :
Previous post Pelajar tahfiz buktikan diri mampu raih 9A SPM
Next post Melaka kaji keperluan satu PBT, satu ‘doktor pokok’
Ubah saiz-+=