500 lepasan SPM dilantik sebagai Volunteer Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

TABOH NANING 18 Jun – Seramai 500 sukarelawan anak muda negeri ini akan dilantik menjadi duta kecil pelancongan sebagai persediaan menghadapi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, sukarelawan yang dinamakan sebagai ‘Volunter Melaka’ akan ditempatkan di lokasi-lokasi pelancongan utama di Melaka bagi membantu jurucakap berkaitan sektor pelancongan negeri sempena TMM2024.

Katanya, tawaran menjadi sukarelawan ini dibuka khususnya kepada anak-anak lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun hadapan.

“Mereka akan dididik mengenali sejarah Melaka untuk mereka meraikan pelancong yang datang.

“Kita akan beri mereka pendedahan menerusi kursus-kursus tentang pelancongan termasuk sejarah Melaka, supaya mereka boleh menyambut kedatangan pelancong dan memberikan penerangan ringkas berkaitan pelancongan negeri ini.

“Dengan penambahan 500 sukarelawan dan ditempatkan ke lokasi pelancongan ini ia akan menambahkan lagi elemen-elemen pelancongan yang ada di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan butik Coach Airways di  Freeport A Famosa Outlet (FAO), di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Exco Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Zulkiflee Mohd Zain. 

Turut sama, Ketua Pengarah Lembaga Pengalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar, Pengarah Urusan FAO, Datuk Julian Lau serta tetamu lain.

Terdahulu, dalam program perasmian diadakan itu telah merekodkan sijil The Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai kapal terbang pertama di dunia diubah menjadi butik beli belah.

Mengenai program berkenaan, menurut Ab Rauf, mercu baharu yang dibangunkan itu merupakan salah satu kebanggaan negeri ini bagi menarik sektor pelancongan di Melaka.

“Coach Airways ini juga menarik minat mata saya kerana butik ini merupakan pesawat Boeing 747 pertama di dunia yang ditukar daripada pesawat penerbangan kepada butik jualan jenama Coach.

“Butik Coach ini juga lengkap dengan tempat untuk bergambar seperti dalam kapal terbang dan kafe.

“Saya turut dimaklumkan, keluaran Coach di sini juga dijual dengan harga promosi serta mengeluarkan koleksi khas yang terjual di Coach

Airways sahaja,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1195
Kongsi :
Previous post Koperasi Tentera umum dividen tujuh peratus
Next post KD Hang Tuah dipamer di Melaka sempena TMM2024
Ubah saiz-+=