KD Hang Tuah dipamer di Melaka sempena TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

TABOH NANING 18 Jun – Kapal muzium milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Kapal Diraja (KD) Hang Tuah bakal ditempatkan di Melaka sebagai tarikan baharu pelancongan pada Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia antara inisiatif Kerajaan Negeri untuk menarik lebih ramai pelancong hadir pada TMM2024.

Katanya, perbincangan bersama TLDM mengenai perkara itu sudah berada di peringkat akhir dan dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi.

“KD Hang Tuah akan diletakkan di dalam Melaka sebagai tarikan baharu pelancongan.

“Kita sedang melihat sama ada (ia ditempatkan) di kawasan Klebang ataupun di kawasan Dataran Pahlawan dan ia hampir dimuktamadkan,” katanya.

390d52a1-a436-4900-ba1b-9c5e5e6f4326
AB Rauf melihat produk jenama Coach yang dijual dalam Coach Airways.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan butik Coach Airways di A Famosa Freeport Outlet (FAO), di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Exco Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam, Timbalan Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan, Hal Ehwal Tanah, Agensi Bukan Kerajaan, Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET, Datuk Khaidirah Abu Zahar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Zulkiflee Mohd Zin.

Turut sama, Ketua Pengarah Lembaga Pengalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar, Pengarah Urusan FAO, Datuk Julian Lau serta tetamu lain.

Untuk rekod, sepanjang perkhidmatan KD Hang Tuah dalam TLDM, ia merekodkan pelayaran sejauh lebih 500,000 kilometer (km) bersamaan 12.5 kali mengelilingi dunia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1427
Kongsi :
Previous post 500 lepasan SPM dilantik sebagai Volunteer Melaka
Next post Tarikan belon udara di Klebang
Ubah saiz-+=