5,000 pelajar bakal masuk UniMEL – Rais

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

DURIAN DAUN 24 Mac – Universiti Melaka (UniMEL) dijangka mempunyai seramai 5,000 pelajar yang akan menyambung pengajian ke institusi itu menjelang hujung tahun ini.

EXCO Pendidikan negeri Datuk Rais Yasin berkata, penerimaan perakuan universiti penuh dibawah Akta Pendidikan Universiti Swasta yang diterima UniMEL, awal bulan ini menjadi antara faktor kepada penambahan bilangan pelajar.

“Selama 27 tahun akhirnya kita diberikan sijil untuk dinaik taraf sebagai UniMEL, sekarang ini kita mempunyai lebih 3,000 pelajar dan sekiranya tiada aral melintang UniMEL akan mempunyai 5,000 pelajar hujung tahun ini.

“UniMEL juga kini turut mempunyai pelajar luar dari negara China seramai hampir 30 orang yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) dan ini kejayaan membanggakan buat UniMEL,” katanya.

Menurut beliau, beberapa pelan jangka pendek dan panjang turut dirangka pengurusan universiti di bawah Naib Canselornya Prof Dr Abdul Razak Ibrahim dalam memastikan UniMEL seiring dengan universiti tempatan yang lain sekaligus dapat melahirkan graduan kebolehpasaran.

“Banyak pelan yang dirangka tetapi fokus utama kini hendak pastikan UniMEL ini yang dimiliki penuh oleh Kerajaan Negeri Melaka akan boleh terus berdiri dengan megah serta bertahan dalam jangka masa panjang.

“Antara yang diperincikan juga adalah untuk menambah fakulti termasuk bilangan tenaga pengajar yang berkualiti dalam menarik lebih ramai pelajar ke UniMEL,” katanya.

Ujar Rais, dengan kempimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr Sulaiman Md Ali dan Canselor UniMEL Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam, beliau yakin UniMEL akan mendapat sentuhan terbaik dan terus gemilang.

“Saya yakin dan percaya UniMEL mempunyai masa depan yang cerah selain jalinan kerjasama dengan pihak luar malah dibawah kepimpinan Ketua Menteri serta Canselornya ia akan diperkasakan lagi UniMEL.

“Saya turut menyeru kepada anak Melaka untuk mendaftar dan masuk ke UniMEL bagi menyambung pengajian mereka di peringkat tertinggi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2096
Kongsi :
Previous post Pengembara luar boleh diusir sekiranya tidak lakukan RTK-Ag profesional
Next post Cabaran belajar, mengajar era pandemik tidak halang pasangan guru genggam ijazah
Ubah saiz-+=