5,500 ‘rider’ gegarkan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 31 Oktober – Lebih 10,000 pengunjung membanjiri Dataran Sejarah Ayer Keroh bagi memeriahkan sambutan Program Himpunan Bermotor Negeri Melaka, di sini, semalam.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, program julung kali diadakan itu mendapat sambutan amat positif dengan penyertaan lebih 5,500 penunggang dari seluruh negeri ini.

“Hari ini (semalam) adalah kemuncak kepada minggu permotoran Melaka yang dianjurkan bersama Parlimen-Parlimen dalam Negeri Melaka. Jumlah kehadiran pengunjung dan peserta yang tinggi adalah cerminan kepada sebuah kemakmuran dalam sebuah kestabilan politik yang diterjemahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

“Saya melihat nilai sebuah kemakmuran ini amat penting dan mesti diiringi dengan sebuah kestabilan iaitu kestabilan politik untuk mengurus tadbir negeri atau negara,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas menyempurnakan Program Himpunan Bermotor Negeri Melaka di Dataran Sejarah Ayer Keroh.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Ab Rauf berkata, penganjuran itu adalah kesinambungan daripada program pemberian petrol percuma kepada penunggang motosikal yang berlangsung serentak pada 22 Oktober lalu.

“Sambutan ini juga kita raikan sempena setahun Kerajaan Negeri selepas diberikan mandat rakyat pada tahun lalu. Kita meraikan rakyat agar mereka dapat bersama melihat bahawa dalam setahun ini pelbagai pencapaian telah dikecapi Kerajaan Negeri,” katanya.

Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan sepanjang program termasuk acara cabutan bertuah yang menjadi tarikan utama.

Motosikal Yamaha RXZ menjadi hadiah utama, diikuti Motosikal Yamaha Y15, enam motosikal diagihkan menerusi parlimen, 24 peti sejuk, 24 mesin basuh, 24 kipas angin, 24 telefon pintar, televisyen dan barangan elektrik.

Menerusi program itu juga orang ramai yang datang turut dihiburkan dengan persembahan artis popular Datuk Ramli Sarip.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2796
Kongsi :
Previous post Jumlah mangsa banjir di Melaka berkurang kepada 16 orang
Next post Bas ekspres terbabas, pemandu dan 20 penumpang selamat
Ubah saiz-+=