568 katil pesakit COVID di tiga hospital utama Melaka – Rahmad

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 24 Julai – Jumlah kapasiti katil untuk merawat pesakit COVID-19 di tiga buah hosital besar di negeri mencapai had 88.4 peratus atau 568 daripada 642 katil yang disediakan.

Exco Kesihatan negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, tiga hospital berkenaan adalah Hospital Melaka (HM) di Melaka Tengah, Hospital Jasin (HJ) dan Hospital Alor Gajah (HAG)

Bagi Hospital Melaka (HM) katanya, kapasiti penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) masih kritikal apabila telah mencapai tahap 120 peratus.

“Kita sebenarnya kekurangan katil bagi menempatkan pesakit di unit berkenaan walaupun sebanyak 10 katil telah ditambah bagi mengatasi kesesakan pesakit COVID-19.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan katil disediakan di unit berkenaan sebanyak 124 yang mana 96 daripadanya digunakan untuk pesakit COVID-19,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Dari segi jumlah keseluruhan penggunaan katil untuk merawat pesakit COVID-19 di HM, HJ dan HAG pula katanya, ia telah mencapai 568 buah daripada 642 katil yang disediakan untuk pesakit COVID.

Jelasnya, jumlah itu bermakna kapasiti katil untuk rawatan pesakit telah mencapai 88.4 peratus.

“Keadaan di HM terutamanya masih kritikal apabila terdapat dan ramai pesakit sedang menunggu bagi penempatan (rawatan) di hospital berkenaan setiap hari.

“Walau bagaimanapun keadaan itu masih terkawal,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri itu.

Menurut Rahmad, bagi jumlah katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pula, ia telah mencapai 68.1 peratus iaitu seramai 1,119 pesakit daripada 1,642 katil yang disediakan.

Jelasnya, bagi PKRC swasta pula, ia mencapai 69.5 peratus daripada 1,476 katil, dengan 1,026 pesakit ditempatkan di lokasi itu.

Pada 9 Julai lalu, MHI melaporkan keadaan HM berada pada paras kritikal berikutan penggunaan katil telah mencapai 91 peratus.

Susulan itu, dua hospital daerah iaitu Hospital Jasin dan Hospital Alor Gajah terpaksa dibuka untuk mearawat pesakit COVID-19.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

497
Kongsi :
Previous post Kes baharu COVID catat angka lebih 15,000 dua hari berturut-turut
Next post Jual bantuan kit makanan untuk beli dadah
Ubah saiz-+=