600 warga Ayer Limau khatam al-Quran serentak

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER LIMAU 1 April – Seramai 600 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau mengimarahkan bulan Ramadan dengan khatam al-Quran secara beramai-ramai di dua buah masjid, semalam.

Ia menerusi penganjuran Majlis Khatam Al Quran Perdana Peringkat DUN Ayer Limau bersempena Nuzul Al-Quran.

Masjid Ubudiah, Kampung Ramuan China Kechil menjadi lokasi menghimpunkan jemaah wanita bagi penganjuran itu, manakala jemaah lelaki pula ditempatkan di Masjid Namirah, Felcra Ramuan China.

Majlis agama itu telah disempurnakan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Hameed yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau berkata, program berkenaan merupakan acara kemuncak sempena bulan Ramadan yang diraikan di DUN berkenaan dalam usaha untuk mengimarahkan masjid.

Katanya, program seumpanya akan diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha menjadikan ‘rumah Allah’ sebagai medan penyatuan umat Islam tanpa mengira latar belakang dan pandangan.

“Sepanjang Ramadan ini kita berjaya menjayakan pelbagai program bermanfaat kepada rakyat di kawasan ini dengan pelbagai pengisian program kebajikan di pelbagai lokasi terutama di 28 surau dan sembilan masjid di DUN Ayer Limau.

“Dengan penganjuran kemuncak ini kita berharap seluruh umat Islam akan terus istiqamah dalam mengejar keberkatan di bulan mulia ini dan akan menjayakan program seperti ini pada masa akan datang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Bersempena program itu, penduduk terlibat turut menjayakan aktiviti gotong royong memasak bubur lambuk sebelum diagihkan kepada orang ramai.

Kesemua peserta turut menerima sumbangan pakaian raya, selain sumbangan khas kepada pegawai syarak membabitkan kesemua masjid dan surau di DUN berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

92
Kongsi :
Previous post Melaka mahu pastikan tradisi lama terus diwarisi – KM
Next post Bekalan air Melaka cukup pada Aidilfitri ini – KM
Ubah saiz-+=