Sorting by

×

Melaka mahu pastikan tradisi lama terus diwarisi – KM

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

SUNGAI RAMBAI 1 April – Kerajaan Negeri komited mahu memastikan tradisi lama kekal relevan di negeri ini menerusi penganjuran pelbagai program kemasyarakatan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, program kemasyarakatan seperti penganjuran Festival Kuih Tradisional Aidilfitri dan Pelita Raya Melaka 2024 di Dataran Riverside Sungai Rambai, wajar diangkat dan diadakan pada setiap tahun.

Jelas beliau, ini kerana program seperti itu berupaya menjadi medan dalam memastikan tradisi kemeriahan sambutan Aidilfitri kekal dirasai di negeri ini.

Tambah Ketua Menteri, selain dapat mengeratkan silaturahim antara komuniti dan pemimpin, ia juga mengekalkan tradisi masyarakat Melayu seperti penyediaan kuih raya tradisional yang popular sejak sekian lama.

“Besar harapan saya agar festival seperti ini dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun hadapan dengan membuka penyertaan yang lebih luas buat seluruh rakyat negeri Melaka dan mungkin juga luar dari Melaka.

“Ia secara tidak langsung dapat mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan yang wajib dilawati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Festival Kuih Tradisional Aidilfitri dan Pelita Raya Melaka 2024 di Dataran Riverside Sungai Rambai, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Siti Faizah Abd Azis; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Kerk Chee Yee; Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) negeri, Sa’ari Basiron serta kenamaan lain.

Program yang memasuki tahun ketiga penganjuran itu dihadiri lebih 3,000 pengunjung, selain turut membabitkan lebih 20 kumpulan terdiri daripada wakil-wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam daerah Jasin serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Festival itu turut dimeriahkan dengan Pertandingan Pelita Raya Melaka 2024 yang disertai oleh semua JPKK DUN Sungai Rambai serta agensi kerajaan negeri dan persekutuan sekitar daerah Jasin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

427
Kongsi :
Previous post UMNO Kota Melaka rai pentadbiran setahun Ketua Menteri
Next post 600 warga Ayer Limau khatam al-Quran serentak
Ubah saiz-+=