70 peratus premis di Melaka miliki sijil perakuan bomba

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 25 Julai – Sebanyak 70 peratus daripada 329 premis di negeri ini mempunyai sijil perakuan bomba (FC) mengikut peruntukan Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (pindaan 2020) (Akta 341).

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abu Bakar Katain berkata, kesemua pemilik premis tersebut diwajibkan untuk memiliki sijil berkenaan bagi memastikan segala aspek keselamatan premis sentiasa terjamin.

Katanya, sijil perakuan itu adalah perkara wajib yang perlu ada bagi setiap bangunan yang telah ditetapkan mengikut kategori yang terkandung di dalam Akta Bomba.

“Daripada jumlah 329 premis itu pula, hanya 20 bangunan kerajaan yang dikategorikan perlu mempunyai sijil ini, manakala selebihnya melibatkan premis seperti kompleks beli-belah, hotel, kilang, gudang, stor dan lain-lain.

“Justeru, saya menyeru kepada pemilik premis supaya memandang serius mengenai pemilikan sijil perakuan ini bagi tujuan menjaga dan bertanggungjawab terhadap keselamatan premis masing-masing,” katanya.

photo_2023-07-25_15-34-58
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abu Bakar Katain mengadakan sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Seminar Keselamatan Kebakaran Peringkat Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Melaka Tahun 2023 di Hotel Mudzaffar, MITC Ayer Keroh, Melaka. Foto: MR. AZLI

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Seminar Keselamatan Kebakaran Peringkat JBPM Negeri Melaka Tahun 2023 yang dirasmikan Timbalan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Zulkiflee Mohd Zin di sebuah hotel di sini, hari ini.

Ujarnya, jabatan bomba hanya bertindak sebagai badan penguatkuasa yang akan melaksanakan akta sedia ada.

“Saya harap dengan penyertaan peserta daripada pelbagai agensi hari ini akan memberi lebih fahaman dan kesedaran tentang pentingnya mempunyai sijil berkenaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

927
Kongsi :
Previous post Ada bahan boleh sebabkan kebakaran pada botol disyaki IED – Ayob Khan
Next post Bayi maut tersedak susu, tiada unsur dera atau pengabaian – Polis
Ubah saiz-+=