75 pegawai, anggota keselamatan ditugaskan di PKPD Pusat Koreksional Jasin

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

JASIN, 22 Dis – Sebanyak 75 pegawai dan anggota keselamatan ditugaskan di Pusat Koreksional Jasin susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan berkenaan bermula hari ini.

Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Shahrul Lalli Masduki berkata pegawai dan anggota membabitkan polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ditugaskan secara bergilir-gilir sepanjang pelaksanaan PKPD di pusat berkenaan.

“Sebanyak tiga syif bekerja akan dilaksanakan di PKPD Pusat Koreksional Jasin ini membabitkan tiga anggota daripada setiap cabang pasukan keselamatan pada satu-satu syif.

“Selain di Pusat Koreksional Jasin, kami juga menempatkan anggota di Dewan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Lipat Kajang di sini yang dijadikan Pusat Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) bagi PKPD berkenaan,” katanya kepada Bernama selepas meninjau sekatan jalan raya di PKPD Pusat Koreksional Jasin yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Jasin DSP Mispani Hamdan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Rahmad Mariman ketika dihubungi Bernama berkata 35 petugas perubatan pelbagai kategori sedang bertugas di Pusat Koreksional Jasin manakala 25 petugas daripada Pejabat Kesihatan Jasin bersiap-sedia dipanggil bertugas jika keadaan memerlukan.

Beliau berkata setakat 12 tengah hari ini, 603 banduan dan 103 petugas penjara disaring manakala 41 banduan sedang dirawat di PKRC Penjara Sungai Udang dan 87 banduan lagi dirawat di Hospital Melaka dengan tujuh daripadanya telah sembuh.

Bagi Depoh Tahanan Imigresen Machap Umboo di Alor Gajah pula, beliau berkata sehingga 12 tengah hari ini, 425 pendatang tanpa izin dan 57 petugas Jabatan Imigresen di depo itu telah disaring dengan 148 individu dikesan positif COVID-19 membabitkan pendatang tanpa izin.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD dilaksanakan di Pusat Koreksional Jasin dan kuarters kakitangan pusat itu bermula hari ini hingga 4 Jan depan, melibatkan 771 orang terdiri daripada 603 tahanan dan 168 kakitangan serta ahli keluarga.- BERNAMA

Views:

975
Kongsi :
Previous post Kutipan zakat Melaka meningkat 0.95 peratus
Next post Empat beranak terkandas di Thailand selamat pulang ke tanah air
Ubah saiz-+=