PPHL perkasakan petani
KUALA LINGGI 27 Ogos – Pusat Pengumpulan Hasil Ladang (PPHL) Masjid Tanah, bakal memulakan operasi Oktober nanti, bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan petani sebaliknya menghapuskan peranan orang tengah.
Pengerusi Koperasi Usahawantani Alor Gajah Melaka Berhad Ahmad Fairus Mohamad berkata, PPHL memainkan peranan yang amat penting dalam membantu usaha kerajaan memperkukuhkan lagi dasar ‘sekuriti makanan’ negara dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar.
Katanya, menerusi kerjasama antara PPHL dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) daerah Kuala Langat, peladang bakal menikmati harga jualan lebih baik meskipun ketika berlaku lambakan bekalan di pasaran.
“Contoh dalam hal ini PPK Kuala Langat menawarkan harga belian cili paling rendah RM6 satu kilogram (kg) meskipun ketika berlaku lambakan, jadi peladang tidak mengalami kerugian dan masih ada sedikit keuntungan.
“Jika pasaran pulih, harga belian adalah mengikut keadaan semasa, jika naik sampai RM12 satu kg PPK Kuala Langat akan beli pada harga itu,” katanya ketika ditemui pada Program Padanan Niaga PPHL Koperasi Pertanian Negeri Melaka di PPHL Masjid Tanah, Kuala Sungai Baru, di sini, 24 Ogos lalu.
Hadir sama pada program itu Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Koperasi Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Nor Azam Md Salleh, Penolong Pengarah (Pengembangan) Jabatan Pertanian Negeri Melaka Muhammad Mustaqim Kamarauzaman dan Timbalan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Melaka Siti Nurulaen Dzolkeefly
Beliau berkata, PPHL Masjid Tanah bakal menjadi pusat sehenti bagi Peladang di sekitar daerah ini dan negeri Melaka untuk memasarkan hasil ladang mereka pada harga yang kompetitif.
Menurutnya, bagi perancangan jangka panjang, pihaknya bercadang untuk mengembangkan lagi jaringan kerjasama dengan agensi dan syarikat swasta termasuk pemain industri bagi memberikan manfaat kepada peladang seluruh Negeri Melaka.
“Sasaran kami adalah mewujudkan sistem pemasaran yang sistematik, selain membantu memberikan khidmat nasihat kepada peladang agar mereka ini mengamalkan pengurusan kebun yang baik.
“Diharapkan inisiatif dan usaha pihak koperasi kami menjadi contoh dan menarik minat lebih ramai untuk aktif dalam bidang pertanian khusus dalam kalangan orang muda,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.