80 peratus banduan dibebaskan kekal bekerja dengan majikan

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

SUNGAI UDANG 9 November – Lapan puluh peratus Orang Bebas Berlesen (OBB)  yang dibebaskan daripada Penjara Sungai Udang dan diberi penempatan bekerja menerusi program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan Madani menerima maklum balas positif daripada majikan.

Ketua Bahagian Pemulihan Penjara Negeri Melaka, Mohd Sazeli Mohd Noor berkata, bermula Januari lalu, jumlah keseluruhan PBSL adalah seramai 400 banduan dan 100 daripada jumlah itu ditempatkan bersama majikan untuk diberi peluang pekerjaan.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan banduan yang ditempatkan bersama majikan, 80 peratus daripada mereka kekal meneruskan pekerjaan sehingga kini.

“Manakala selebihnya memilih untuk kembali ke pangkuan keluarga atau mencari peluang pekerjaan sendiri selepas tempoh hukuman mereka tamat.

“Contohnya, ada seorang daripada banduan yang dibebaskan bermula dengan bekerja sebagai tukang cuci di sebuah resort di Alor Gajah dan kini dinaikkan pangkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program PBSL Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) sempena Hari Deepavali di Penjara Sungai Udang, di sini.

Photo 2023 11 09 16 56 22
ANTARA Orang Bebas Berlesen (OBB) yang dibebaskan daripada Penjara Sungai Undang, di sini.

Hadir sama, Ketua Bahagian Keselamatan Penjara Sungai Undang, Mohd Suffian Said.

Mengulas lanjut, Sazeli berkata penempatan pekerjaan kepada banduan menerusi program terbabit turut memberi perkembangan positif dalam hidup mereka.

“Sebelum ini, meskipun program pemulihan seperti disiplin, keagamaan, kemahiran diterapkan dalam kalangan banduan namun mereka ini sukar untuk mendapatkan pekerjaan di luar dan itu menjadi alasan untuk mereka kembali kepada aktiviti lama seperti melakukan jenayah mahupun terlibat kegiatan dadah.

“Menerusi hasil sistem parol PBSA, kemasukan semula banduan ke penjara sangat kurang berbanding pembebasan terdahulu tanpa diberi peluang pekerjaan.

“Jadi, saya menyeru kepada keluarga dan majikan supaya memberikan peluang kedua kepada mereka kerana banduan ini melalui program pemulihan bermula fasa satu, dua dan tiga kemahiran supaya dapat membantu mengubah hidup mereka sekali gus tidak mengulangi perbuatan lepas ,” katanya.

Terdahulu, dalam program itu, seramai 15 OBB di Penjara Sungai Undang dibebaskan bagi penempatan bersama majikan dan rumah perantaraan Jabatan Penjara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1243
Kongsi :
Previous post Lapan barangan tersenarai dalam SHMMP Deepavali 2023
Next post Warga emas hilang dikhuatiri lemas di sungai
Ubah saiz-+=