84 ditangkap ingkar PKPP termasuk 45 di kelab malam

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Seramai 84 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam dengan 45 daripada mereka ialah kerana aktiviti dalam pub atau kelab malam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah tangkapan itu, 55 individu dikompaun, 27 direman dan dua dijamin.

Kesalahan lain dilakukan ialah gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk melibatkan 17 individu, tidak memakai pelitup muka (10 individu), premis beroperasi lebih masa (2), seorang kerana premis beroperasi tanpa lesen, aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai menyukarkan penjarakan fizikal (7) serta dua tangkapan pendatang tanpa izin, katanya dalam kenyataan berhubung PKPP hari ini.

Beliau berkata 61,303 pemeriksaan juga dilakukan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP melibatkan 4,798 pasukan pematuhan dengan 18,308 anggota pemantau yang memeriksa pasar raya, restoran, penjaja serta terminal pengangkutan darat, air dan udara.

Katanya sebanyak 62 sekatan jalan raya Operasi Benteng dijalankan di seluruh negara semalam, dan 28,309 kenderaan diperiksa bagi mengekang pendatang tanpa izin terutamanya di lorong tikus, bagaimanapun tiada sebarang tangkapan dilakukan.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.

Sementara itu, sejak 24 Julai hingga semalam, seramai 20,190 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di 74 hotel serta empat institut latihan awam (ILA).

Beliau berkata daripada jumlah itu, 8,854 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 56 individu dihantar ke hospital untuk rawatan, dan 11,280 individu lagi telah didiscaj dan dibenarkan pulang.

Kesemua mereka pulang dari Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Ismail Sabri berkata sebanyak 418 pemeriksaan turut dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing semalam dan pemeriksaan mendapati kesemua individu yang dikuarantin mematuhi SOP ditetapkan.

Menurutnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pula melakukan 1,264 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,196 premis mematuhi SOP manakala 43 premis diberi nasihat dan 25 premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP.- BERNAMA

Views:

277
Kongsi :
Previous post Malaysians must remain resilient in facing challenges – Muhyiddin
Next post ASEAN to share data to support COVID-19 vaccine development – MITI
Ubah saiz-+=