
84 KOMUNITI MADANI JADI JENTERA AKAR UMBI SEMARAK KEMPEN KIBAR JALUR GEMILANG
AYER KEROH 16 Ogos – Sebanyak 84 Komuniti MADANI seluruh Melaka digerakkan bagi perhebat kempen mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.
Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Melaka Mazli Hamdan berkata, inisiatif adalah pendekatan dilaksanakan JaPen Melaka untuk memastikan semangat patriotisme tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, sebaliknya dapat dirasai sehingga ke peringkat akar umbi.
Katanya, program dilaksanakan menerusi Komuniti MADANI itu merangkumi kempen ‘1 Rumah 1 Jalur Gemilang’, pengibaran bendera serta penyerahan kit Jalur Gemilang kepada pelbagai kumpulan sasaran.
“Sebahagian program telah dilaksanakan dan akan berakhir pada 16 September 2026. Aktiviti ini melibatkan institusi agama, pendidikan, keselamatan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang X Jago Melaka 2026 di sebuah pasaraya, di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik) Jabatan Penerangan Malaysia Rubayah Osman serta kenamaan lain.
Program tersebut turut melibatkan kira-kira 15 kenderaan konvoi bagi program tersebut di beberapa lokasi lain termasuk di Bukit Katil, Melaka Mall serta Masjid Al-Amin sebelum berakhir di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Mengulas lanjut, Mazli berkata, penglibatan 84 Komuniti MADANI itu penting bagi memperluaskan kempen berkenaan supaya usaha menyemarakkan Bulan Kebangsaan dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh.
Jelasnya, sambutan terhadap kempen berkenaan setakat pertengahan Ogos juga menunjukkan perkembangan positif apabila semakin banyak Jalur Gemilang dapat dilihat dikibarkan di sekitar kawasan Ayer Keroh.
“Inilah tanah air kita. Jadi kita mahu melihat lebih banyak Jalur Gemilang dikibarkan dan semangat Hari Kebangsaan terus digelorakan dalam kalangan rakyat Melaka khususnya dan rakyat Malaysia amnya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

