AMBULANS PBT MELAKA KENDALI 600 KES KECEMASAN

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

AYER KEROH 16 Ogos – Lebih 600 kes kecemasan telah dikendalikan menerusi Operasi Ambulans (OBT Ambulans) Kerajaan Negeri Melaka, iaitu inisiatif satu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) satu ambulans, sekali gus memperkukuh keupayaan tindak balas kecemasan di negeri ini.

Ketua Perkhidmatan Pra Hospital dan Ambulans Hotspot, St John Ambulans Malaysia, Saiful Nizam Sairi berkata, operasi berkenaan memainkan peranan penting dalam memastikan pesakit menerima bantuan awal secepat mungkin sebelum dibawa ke fasiliti kesihatan.

Jelas beliau, pelbagai kes kecemasan telah dikendalikan ambulans berkenaan antaranya kes pengsan, serangan jantung, sesak nafas, strok, kemalangan, trauma dan pelbagai kecemasan lain.

“Selain itu, kita turut membantu kes rujukan pesakit antara fasiliti kesihatan serta menyediakan perkhidmatan medical standby bagi program sukan, acara rasmi dan aktiviti yang mempunyai risiko tinggi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Saiful Nizam, antara kelebihan utama operasi berkenaan adalah keupayaan menyediakan penilaian dan rawatan awal di lokasi kejadian sebelum pesakit dihantar ke fasiliti kesihatan yang bersesuaian.

“Pasukan kita bukan sekadar membawa pesakit ke hospital, tetapi turut memberikan rawatan pra-hospital seperti Bantuan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR), penggunaan peranti defibrillator luaran automatik (AED), pemberian oksigen dan pemantauan tanda vital mengikut keperluan pesakit.

“Rawatan awal ini penting kerana dalam situasi kecemasan, setiap minit amat bermakna dan tindakan pantas boleh membantu meningkatkan peluang pesakit untuk diselamatkan,” katanya.

WhatsApp Image 2026 07 31 at 10.20.02 AM
OBT Ambulans turut menangani kes kecemasan di kawasan pelancongan Banda Hilir.

Beliau berkata, pelaksanaan OBT Ambulans turut memberi manfaat kepada pelancong yang berkunjung ke Melaka, khususnya ketika berlaku kecemasan yang memerlukan bantuan perubatan segera.

Katanya, operasi itu dilaksanakan hasil kerjasama strategik Kerajaan Negeri Melaka bersama Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Melaka, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan St John Ambulans Malaysia.

“Kerjasama semua pihak amat penting untuk memastikan sistem tindak balas kecemasan di Melaka sentiasa berada pada tahap terbaik dan mampu memberi perkhidmatan yang pantas serta berkesan.

“Kita mahu Melaka bukan sahaja dikenali sebagai negeri pelancongan, tetapi juga sebuah negeri yang mempunyai sistem kecemasan bandar yang selamat, responsif dan mesra rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

290
Kongsi :
Previous post ‘SAYA TIDAK MAHU ADA RAKYAT TIADA MAKANAN DI RUMAH’