
‘SAYA TIDAK MAHU ADA RAKYAT TIADA MAKANAN DI RUMAH’
TELOK MAS 16 Ogos – Komitmen membantu golongan memerlukan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas tidak terhad kepada program kebajikan tertentu sahaja, malah turut diterjemahkan menerusi sumbangan beras secara berkala kepada kariah masjid sejak empat tahun lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, sebanyak 400 hingga 500 kampit beras diagihkan kepada setiap masjid dalam kawasan DUN itu setiap empat bulan bagi membantu meringankan beban jemaah yang memerlukan.
Menurut beliau, pengagihan beras berkenaan dilaksanakan menerusi jawatankuasa masjid yang lebih mengetahui keadaan serta keperluan kariah masing-masing.
“Setiap empat bulan sekali, kita akan menghantar antara 400 hingga 500 kampit beras ke masjid-masjid dalam DUN Telok Mas.
“Kemudian pihak jawatankuasa masjid akan mengagihkannya kepada jemaah dan kariah yang memerlukan. Alhamdulillah, program ini masih dapat diteruskan sehingga hari ini,” katanya dalam sesi Podcast Mana Lagi Melaka Ler bersama Melaka Hari Ini.
Menurut Abdul Razak, bantuan berkenaan telah menjadi program tetap yang sentiasa diberi perhatian kerana beliau tidak mahu ada di antara rakyat Telok Mas berdepan kesukaran sehingga tidak mempunyai makanan di rumah.
Katanya, meskipun seseorang tidak mempunyai lauk-pauk yang lengkap, sekurang-kurangnya beras yang ada mampu mengisi perut dan mengelakkan keluarga daripada berdepan masalah kelaparan.
“Kenapa saya pilih beras? Sebab beras adalah makanan asas. Mungkin tidak ada ikan, tidak ada telur atau sayur, tetapi kalau ada beras sekurang-kurangnya boleh masak bubur dan makan.
“Saya tidak mahu ada rakyat saya yang sampai ke tahap tidak mempunyai makanan di rumah,” katanya.
Tambahnya, meskipun nilai bantuan tersebut mungkin tidak sebesar program lain, namun ia mampu memberi kelegaan kepada penerima terutama dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Abdul Razak berkata, program berkenaan menjadi sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan kebajikan penduduk sentiasa diberi perhatian selaras dengan prinsip perkhidmatan yang dibawanya iaitu ‘Demi Telok Mas’.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

