
JIWA MERDEKA TAMAN BUKIT RAMBAI
KLEBANG 16 Ogos – Jiwa merdeka dalam kalangan masyarakat Taman Bukit Rambai terus terserlah apabila hampir 200 Jalur Gemilang diagihkan secara percuma kepada penduduk bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.
Program anjuran Program Perkasa (PROPER) Wanita kawasan Tangga Batu itu mendapat sambutan masyarakat pelbagai kaum dan usia yang bersama-sama menyemarakkan suasana patriotik di kawasan perumahan berkenaan.
Pengerusi PROPER Kawasan Tangga Batu, Ahmad Nor Iman Shawal berkata, sambutan menggalakkan itu membuktikan semangat cintakan negara masih subur dalam kalangan masyarakat setempat.
“Jiwa merdeka bukan hanya diterjemahkan melalui mengibarkan Jalur Gemilang, tetapi bagaimana kita bersama-sama menjaga keharmonian dan perpaduan dalam komuniti.
“Apabila masyarakat pelbagai kaum dan usia turun bersama menerima serta mengibarkan Jalur Gemilang, ia menunjukkan kita berkongsi satu semangat dan satu identiti sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Terdahulu, Program Agihan Jalur Gemilang Percuma Kepada Penduduk Taman Bukit Rambai 2026 itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong.
Menurutnya, pengagihan bendera secara percuma itu juga bertujuan memastikan sambutan Bulan Kebangsaan di Taman Bukit Rambai dapat terus disemarakkan.
“Semangat patriotisme perlu dipupuk secara berterusan terutama dalam kalangan generasi muda supaya mereka memahami nilai kemerdekaan dan menghargai keamanan yang dinikmati hari ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

