Sorting by

×

TUJUH SEKOLAH LUAR BANDAR JASIN CATAT 100 PERATUS LULUS SPM 2024

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 24 April – Tujuh sekolah luar bandar di Daerah Jasin cemerlang, apabila merekodkan pencapaian 100 peratus layak menerima sijil bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan hari ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata pencapaian itu, sekali gus meletakkan Jasin sebagai antara daerah terbaik bagi aspek Gred Purata Negeri (GPN).

“Pencapaian ini, menyumbang kepada peningkatan GPN Melaka iaitu 4.43 mata bagi tahun 2024 berbanding 4.59 mata pada tahun 2023. Lebih membanggakan pencapaian ini mengatasi beberapa sekolah kawasan bandar termasuk di Melaka Tengah.

“Jasin menunjukkan peningkatan paling ketara dalam keputusan SPM kali ini, membuktikan bahawa sekolah luar bandar mampu mencapai tahap akademik setanding sekolah di bandar,” katanya pada sidang media Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM 2024 Negeri Melaka di Bilik Mesyuarat Kesidang Jabatan Pendidikan Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka, Mahfudzah Mohamed Noor; Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Karim Tumin dan Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid Jamsari Mariman.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata pencapaian itu adalah hasil usaha bersepadu guru, pelajar serta sokongan ibu bapa selain komuniti setempat dalam melonjakkan mutu pendidikan walaupun di kawasan luar bandar.

Antara yang memperoleh pencapaian membanggakan ini adalah Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Selandar, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Tun Perak, Sekolah Menengah Arab Assaiyidah Khadijah, Sekolah Menengah Arab Assyakirin, SMK Tun Syed Zahiruddin dan SMK Selandar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3341
Kongsi :
Previous post KEBOLEHPASARAN PELAJAR PENDIDIKAN KHAS MELAKA LEPASI KPI KEBANGSAAN
Next post SPM 2024: 10,532 CALON DI MELAKA LAYAK TERIMA SIJIL