
MALAYSIA MIDNIGHT SALE 2025 MELAKA CATAT JUALAN HAMPIR RM3 JUTA
BANDA HILIR 4 Mei – Program Malaysia Midnight Sale 2025 yang pertama kali diadakan di Melaka berjaya merekodkan jualan hampir RM3 juta sepanjang tiga hari penganjurannya bermula 1 Mei lalu.
Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, rekod jualan itu diperoleh daripada premis-premis yang mengambil bahagian di dalam Mahkota Parade, Banda Hilir dan ia tidak termasuk jualan dari pasar raya.
Katanya, penganjuran jualan program itu adalah bersempena dengan Melaka Bila Larut Malam edisi Mei yang menampilkan kelainan apabila menjadikan pusat beli belah sebagai lokasi sambutan.
“Secara purata nilai jualan harian yang direkodkan antara RM500,000 hingga RM800,000 bagi produk daripada kedai-kedai dan ini tidak termasuk pasar raya besar.
“Jadi saya anggarkan untuk tiga hari ini hampir RM3 juta nilai jualan dengan lebih 15,000 kehadiran pengunjung direkodkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Malaysia Midnight Sale 2025 yang berlangsung di Mahkota Parade, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Pengarah Kanan Tourism Malaysia, Nuwal Fadhilah Ku Azmi serta lain-lain kenamaan.
Menurut Zaidi, dengan kejayaan sambutan di pusat beli belah, program Melaka Bila Larut Malam akan terus berkembang ke lokasi lain dan tidak tertumpu di satu lokasi sahaja.
“Banyak perancangan yang kita susun khususnya di pihak Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) termasuklah dalam konteks penyediaan produk baharu dan sebagai contoh menyelaraskan taman tema Snow World dalam Melaka Bila Larut Malam.
“Malah sambutan Melaka Bila Larut Malam ini ia akan terus bergerak atau berkembang ke lokasi lain sekiranya terdapat keperluan atau permintaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.