Sorting by

×

CIDB MELAKA REKOD 1,578 PROJEK BERNILAI RM3.6 BILION SETAKAT MEI

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

PENGKALAN BATU 6 Mei – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Melaka merekodkan sebanyak 1,578 projek di seluruh negeri ini dengan nilai keseluruhan RM3.6 bilion bagi tempoh Januari hingga awal Mei lalu.

Pengurus Besar Bahagian Penguatkuasaan, CIDB Malaysia, Mohammad Farris Abdul Aziz berkata jumlah itu adalah berdasarkan kepada projek diisytiharkan menerusi Sistem Pengurusan Maklumat Bersepadu (CIMS) CIDB.

Katanya, bagi tempoh sama juga Melaka merekodkan seramai 4,057 kontraktor berdaftar; 28,367 pekerja binaan am; 2,757 pekerja binaan mahir; 2,874 pengurus projek binaan dan 242 penyelia binaan.

“Unit Penguatkuasaan CIDB Melaka telah memeriksa 121 tapak binaan yang melibatkan 170 kontraktor dan hasilnya 82 dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan.

“Sebanyak 535 pemeriksaan telah dijalankan meliputi akreditasi, bahan binaan, personel binaan, kontraktor dan pengisytiharan projek.

“Sebanyak 64 kertas siasatan telah dibuka yang mana majoriti kes melibatkan kegagalan mengisytihar projek, menggaji pekerja binaan mahir tanpa akreditasi dan personel binaan tidak berdaftar,” katanya pada sidang media selepas Operasi Penguatkuasaan Bersepadu (OPB) Bil 1/2025 di sebuah tapak binaan, di sini, hari ini.

Terdahulu, operasi bersepadu tersebut turut disertai enam agensi termasuk Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ); Jabatan kesihatan Negeri Melaka; Jabatan Tenaga Kerja (JTK); Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp); Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Melaka dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mengulas lanjut, Mohammad Farris berkata sebanyak 157 notis dikeluarkan dan 34 kes ketidakpatuhan telah direkodkan.

“Kes kegagalan mengisytihar projek mencatat peratusan tertinggi sebanyak 47.06 peratus. Sehubungan itu saya menyarankan mana-mana kontraktor mahupun sub kontraktor yang terlibat dalam kerja-kerja pembinaan perlu mematuhi segala syarat dan garis panduan yang telah diterapkan

“Saya juga menegaskan bahawa penguatkuasaan ini tidak bersifat menghukum dan ia lebih kepada menggalakkan pematuhan secara sukarela dalam kalangan pemain industri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

536
Kongsi :
Previous post 32,000 PENGUNJUNG SERBU BANDA HILIR, NIKMATI SUASANA MELAKA BILA LARUT MALAM
Next post TAHAP KESEDARAN PEMATUHAN KONTRAKTOR DI MELAKA MENINGKAT – CIDB