Sorting by

×

MELAKA REKOD TIGA KES KEMATIAN PENYU KARAH TAHUN INI

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

PANTAI KUNDOR 10 Mei – Setakat Januari hingga Mei tahun ini, sebanyak tiga kes kematian membabitkan penyu karah telah direkodkan di Negeri Melaka.

Pejabat Perikanan Negeri Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan, kes itu berdasarkan penemuan bangkai penyu karah yang termasuk satu daripadanya dilaporkan di Pantai Puteri, baru-baru ini, membabitkan seekor penyu betina.

Menurut kenyataan itu, bangkai penyu betina yang ditemui baru-baru ini merupakan penyu yang berasal dari Melaka berdasarkan pengecaman nombor tag yang ditemui pada bangkai spesies yang diancam kepupusan itu.

“Punca kematian mungkin disebabkan tersangkut pada jaring nelayan, di mana bangkai itu pada mulanya ditemui di Pantai Puteri dan kemudian dipercayai dihanyutkan arus sehingga ke Pantai Padang Kemunting.

“Penyu karah ini merupakan antara spesies terancam dan ia juga permata bagi Negeri Melaka memandangkan pesisir pantai di negeri ini menjadi antara lokasi pendaratan penyu tertinggi di Semenanjung Malaysia,” kata kenyataan itu.

Pejabat Perikanan Negeri Melaka turut memaklumkan sepanjang 2024, sebanyak 893 pendaratan penyu karah telah direkodkan di sepanjang pesisir pantai Negeri Melaka.

Jelas kenyataan itu, dalam usaha memastikan kesinambungan spesies dilindungi itu, Pejabat Perikanan Negeri Melaka telah mewujudkan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Pengkalan Balak, yang mana ia bukan sahaja menjadi platform mendidik masyarakat, bahkan menjadi lokasi pengeraman telur penyu.

“Jabatan Perikanan turut melantik pemungut telur yang berlesen untuk mengambil telur penyu di kawasan pendaratan penyu.

“Telur penyu yang diambil kemudiannya akan dieramkan di petak hactheri penetasan sebelum anak-anak penyu yang telah menetas akan dilepaskan semula ke laut,” tambah kenyataan berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

559
Kongsi :
Previous post SWM ENVIRONMENT DIDIK WARGA KERJA CAKNA KESELAMATAN JALAN RAYA
Next post TIGA PELAJAR ANTARABANGSA CEDERA DALAM NAHAS DI KM 213