Sorting by

×

PAKEJ PELANCONGAN ‘SEGI TIGA EMAS’ ANTARA DUBAI-SINGAPURA-MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 10 Mei – Melaka bukan sahaja mahu dikenali sebagai destinasi kaya sejarah, bahkan kini bersedia menjadi sebahagian daripada rangkaian pelancongan global yang lebih luas.

Ia dibuktikan menerusi komitmen Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak yang menyertai lawatan kerja di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini.

Menurut Abdul Razak, sepanjang di Dubai, pihaknya bersama delegasi Tourism Malaysia yang diketuai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing telah mengadakan pertemuan dengan pelbagai pemain industri pelancongan dunia bagi mempromosikan sektor pelancongan Malaysia amnya, dan Melaka khasnya.

Jelas beliau, antara pertemuan yang diadakan adalah bersama ITL World Travel dan Singapore Airlines bagi merangka cadangan kerjasama berpotensi besar.

Abdul Razak berkata, antara cadangan yang dibawa untuk memperkasa pelancongan negeri adalah merancang pakej pelancongan ‘segi tiga emas’ yang menghubungkan Dubai, Singapura dan Melaka, khusus menyasarkan pelancong premium dari rantau Asia Barat.

“Turut diketengahkan ialah cadangan mewujudkan sambungan penerbangan dari hab utama Singapore Airlines ke Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), yang mampu meningkatkan keterhubungan antarabangsa negeri ini secara signifikan.

“Dengan kekuatan jenama ITL World serta kepercayaan tinggi terhadap perkhidmatan Singapore Airlines, saya yakin Melaka kini semakin hampir untuk muncul sebagai destinasi pilihan pelancong antarabangsa yang mencari keunikan budaya, warisan dan hospitaliti bertaraf dunia,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau.

Terdahulu, pertemuan itu turut disertai Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Manoharan Periasamy.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3496
Kongsi :
Previous post YB HELMY MAHU MASJID DI DUYONG JANA PENDAPATAN SENDIRI, BANTU UMMAH