Sorting by

×

PERKASA WAKAF PENDIDIKAN DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

BANDARAYA MELAKA 20 Mei – Kerajaan Negeri menyeru agar lebih banyak pihak tampil bagi memperkasakan wakaf pendidikan dalam membantu mengurangkan kebergantungan dana, sekali gus menyediakan pendidikan berkualiti.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, Kerajaan Negeri juga bersedia untuk bekerjasama dengan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) bagi memastikan usaha itu terlaksana.

Katanya, di Melaka terdapat beberapa institusi pengajian bawah Kerajaan Negeri Melaka termasuk Universiti Islam Melaka (UNIMEL) yang mempunyai pusat wakaf sendiri.

“Hasrat ini saya sudah suarakan sejak memegang portfolio Exco Pendidikan supaya wakaf pendidikan dapat diperkasakan di Melaka, pada masa ini hanya UNIMEL satu-satunya yang mempunyai pusat wakaf.

“Oleh itu saya ingin mengajak semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta dan penyumbang supaya kita boleh bekerjasama bagi memperkasakan lagi wakaf pendidikan ini,” katanya.

Rais berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Perasmian Penutupan Simposium Zakat 2025: Kelestarian Tatakelola Pengurusan Zakat (SiPZ25), di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah JAWHAR Datuk Selamat Paigo; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Mohamad Azmi Sabtu; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad serta lain-lain kenamaan.

Menurut Rais, dengan adanya pusat wakaf yang diwujudkan, ia secara tidak langsung akan membantu institusi pengajian untuk bergerak lebih progresif tanpa mengharap sepenuhnya bantuan dana.

“Misalnya, sekiranya dana disalurkan daripada Kerajaan Negeri tidak mencukupi, institusi ini boleh berdiri dengan kaki sendiri sekali gus dapat membantu pelajar memerlukan tanpa sebarang kekangan,” katanya.

Sementara itu, Rais berkata, sepanjang dua hari berlangsungnya Simposium Zakat 2025 itu, beberapa aspek utama berkaitan zakat diketengahkan kepada kira-kira 150 peserta yang mewakili pusat zakat seluruh Malaysia yang hadir.

“Antaranya adalah Tatakelola Pengurusan Zakat Merentasi Zaman; Senario Pengurusan Zakat Di Malaysia, Profesionalisme Amil Dan Amalan Wakalah Dalam Kutipan Zakat serta Pemerkasaan Jaringan Strategik.

“Saya yakin hasil dapatan, cadangan dan resolusi daripada simposium ini akan menjadi rujukan strategik dalam merangka dasar, menambah baik pelaksanaan serta mencorak hala tuju baharu pengurusan zakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

344
Kongsi :
Previous post WRUR: 19 KAMPUNG DI LENDU DAPAT ALAMAT BAHARU DILENGKAPI KOD QR
Next post MELAKA BANGUNKAN PROJEK LIMBUNGAN KAPAL DIINSPIRASI NAMA PANGLIMA AWANG