
SRA BAHARU DI SUNGAI UDANG SATU KEPERLUAN MENDESAK
SUNGAI UDANG 27 Mei – Penantian lebih 20 tahun penduduk Sungai Udang untuk memiliki sebuah sekolah rendah agama (SRA) tiada penghujung apabila permohonan dibuat Kerajaan Negeri bagi pembinaan infrastruktur pendidikan agama itu ditolak di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12)
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang Datuk Rais Yasin berkata, permohonan itu dibuat memandangkan keperluan SRA amat mendesak selain bangunan sedia ada tidak dapat menampung keperluan murid selain berada dalam keadaan daif.
Justeru, beliau amat berharap bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), khabar gembira akan diterima penduduk Sungai Udang yang telah lama menantikan pembinaan SRA di kawasan itu.
“Keperluan sekolah SRA ini amat mendesak dan sudah dinantikan sejak 20 tahun oleh penduduk malah besar harapan agar impian ini tercapai bagi keselesaan murid.
“Tanah bagi pembinaan sekolah ini sudah ada dan kita perlukan kos pembangunan sekolah sebanyak RM9 juta. Justeru itu saya amat berharap Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dapat membantu menyelesaikan perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Melaka 2025 yang disempurnakan isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman, di Penjara Sungai Udang, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI) Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin dan Timbalannya Leng Chau Yen; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Siti Faizah Abd Azis serta lain-lain kenamaan.
Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, bangunan sedia ada hanya mampu menampung 200 murid sahaja manakala kira-kira 400 orang lagi terpaksa menumpang di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Udang.
“Pecahan murid itu sangat ketara apabila hanya 200 orang sahaja mampu bersekolah di bangunan sedia ada selebihnya terpaksa menumpang sekolah di SK Sungai Udang yang mempunyai kapasiti sangat padat.
“Isu ini sudah lama berlarutan, ia bukannya isu politik lagi tetapi adalah keperluan mendesak oleh penduduk Sungai Udang.
“Tumpuan saya dari awal lagi adalah aspek pendidikan, kalau kita lihat di WRUR DUN Sungai Udang, aspek pendidikan diberi tumpuan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.