
KERJASAMA STRATEGIK PERKASA INSTITUSI TVET MELAKA
LENDU 29 Mei – Program Zero To Hero menjadi satu lagi pemangkin dan bukti kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memperkasakan lagi Melaka sebagai pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, program berkenaan adalah platform transformasi yang memberi peluang kepada belia Melaka untuk menjalani latihan intensif bidang scaffolding, khususnya melibatkan industri minyak dan gas.
Katanya, menerusi inisiatif berkenaan, Kerajaan Negeri melalui Majlis TVET Negeri Melaka memperuntukkan sebanyak RM120,000 untuk memastikan program dilaksanakan memberi manfaat kepada 30 belia yang layak.
Mengulas lanjut Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata, lebih menarik apabila peserta juga dijamin penempatan kerja setelah tamat latihan.
“Mewakili Kerajaan Negeri Melaka, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Majlis TVET Negeri Melaka, Blitz Training & Consultancy serta semua pihak yang bekerjasama dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk memperkasa sektor TVET di Melaka.
“Kerjasama strategik seperti inilah yang Kerajaan Negeri mahukan terutamanya inisiatif dalam meningkatkan kebolehpasaran pekerjaan,sekali gus memacu agenda pembangunan rakyat di bumi Melaka ini,” kata Ketua Menteri ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Zero To Hero Penempatan Pekerja Bidang Scaffolding – Oil & Gas di HRSB Holdings Sdn Bhd, Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Hadir sama Adun Lendu, merangkap Ketua Menteri Melaka ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem serta Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP), Datuk Mohd Yusof Abu Bakar dan Presiden HRSB Holdings Sdn Bhd, Datuk Mohd Faizal Mohd Hassim.
Ab Rauf berkata, sejak 2014, Blitz Training & Consultancy telah melatih lebih 14,000 peserta dalam bidang scaffolding dan daripada jumlah tersebut, lebih 90 peratus berjaya diserap ke dalam sektor industri.
“Inisiatif ini adalah langkah yang tepat dan proaktif yang perlu diperluas bagi memastikan belia Melaka dilengkapi dengan kemahiran yang relevan, kompeten dan diiktiraf oleh industri, sekali gus akan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negeri secara langsung.
“Berikutan itu Kerajaan Negeri Melaka terbuka untuk bekerjasama secara strategik dengan pihak industri dan penyedia latihan untuk mencipta lebih banyak peluang latihan yang bermanfaat serta memperkukuh jaringan penyediaan kemahiran yang seiring dengan keperluan semasa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.