
ELRICK PEMUDA ORANG ASLI KEBANGGAAN ASAHAN
ASAHAN 2 Mei – Anak Orang Asli ini membuktikan dengan tekad dan kesungguhan, semua mampu berjaya dalam apa jua bidang diceburi.
Elrick Roslee, 23, dari Kampung Orang Asli Bukit Seraya kini menjadi kebanggaan orang Asahan apabila berjaya mengharumkan nama negara dan Negeri Melaka dalam sukan rejam lembing.
Kejayaan itu dilakar bukan sahaja di peringkat kebangsaan, malah kejohanan antarabangsa dengan pencapaian keseluruhan 10 pingat emas dan dua perak, sekali gus membuktikan anak kampung mampu menawan dunia.
Menurut Elrick, kejayaan itu bukanlah datang daripada dirinya sahaja bahkan turut dibantu hasil sokongan keluarga, jurulatih Pusat Latihan Daerah (PLD) Alor Gajah Mohd Hanafiah Yusof serta jurulatih dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Malah, dia turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan yang banyak membantu dalam sudut sokongan moral dan kewangan, terutama dalam sudut kelengkapan sukan dan ketika menyertai kejohanan di luar negara.
“Bantuan dan sokongan semua memberi lebih semangat untuk saya berjaya dalam sukan ini, tambahan pula tahun ini pelbagai kejohanan akan saya sertai hampir setiap bulan.
“Misi utama saya adalah untuk menghadiahkan pingat pada kejohanan Malaysia Open dan ASEAN University Games (AUG) pada Jun dan Disember depan, selain terus memperbaiki rekod peribadi saya,” katanya yang berjaya mencatat lontaran peribadi terbaik 66.45 meter di Sukan Sea Thailand, tahun lalu.
Atas kejayaan membanggakan itu, Elrick dipilih sebagai penerima Ikon Asahan sempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (Asahan).
Penuntut Ijazah Sains Taman dan Rekreasi UPM itu nyata terharu dan gembira di atas pengiktirafan itu, selain menyifatkannya sebagai pembakar semangat untuknya terus berjaya, selain menjadi motivasi terbaik kepada lebih ramai anak-anak Asahan yang lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


