Sorting by

×

MINI ZOO TARIKAN BAHARU KAMPUNG BUKIT SENGGEH

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

ASAHAN 2 Mei – Pembangunan mini zoo di Kampung Tersusun Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Kampung Bukit Senggeh dijangka menjadi tarikan baharu agropelancongan di kawasan itu apabila bakal dibuka kepada orang ramai pada tahun 2027.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Senggeh Mohd Zahir Md Noh berkata, inisiatif itu antara usaha memperkasakan sektor agropelancongan di kampung berkenaan.

Katanya, Kampung Bukit Senggeh merangkumi beberapa kawasan seperti Solok Hilir, Solok Rejang, Solok Chembong dan Solok Air Keroh.

“Selain Taman Eko Rimba Bukit Batu Lebah, kawasan Kampung Tersusun DMDI kini turut dibangunkan dengan ladang buah tin serta mini zoo sebagai produk pelancongan baharu.

“Mini zoo ini masih dalam pembinaan dan sudah mula menerima beberapa haiwan. Kita jangka ia akan dibuka kepada pengunjung pada tahun hadapan.

“Pembangunan ini dilihat mampu menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan tersebut sekali gus merancakkan ekonomi penduduk setempat,” katanya kepada Melaka Hari Ini di Ohana Valley Kampung Bukit Senggeh.

Sementara itu kontraktor projek Ohana Valley, Hairi Helmi berkata, kawasan seluas kira-kira 3.64 hektar itu bakal menempatkan pelbagai jenis haiwan sebagai tarikan utama.

Mini zoo
ALPAKA menjadi antara haiwan tarikan di mini zoo di Ohana Valley. Foto Afiq Mustaffa

“Antara haiwan yang terdapat di mini zoo ini nanti termasuk alpaka, kambing pigmi, burung unta, pelbagai jenis ayam, rusa, pelanduk serta ternakan ikan.

“Kawasan ini dibangunkan dengan konsep agropelancongan berteraskan kebun yang mesra pengunjung dan jarang terdapat di Melaka,” katanya.

Menurut Hairi, selain mini zoo, kemudahan lain yang turut dirancang termasuk inap desa serta sebuah dewan mini bagi penganjuran kursus dan majlis.

“Apabila siap sepenuhnya, ia bukan sahaja menjadi lokasi rekreasi keluarga, malah pusat pembelajaran berkaitan haiwan dan pertanian.

“Terima kasih juga atas sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan yang banyak membantu dari segi promosi serta cadangan penambahbaikan bagi meningkatkan daya tarikan kawasan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

380
Kongsi :
Previous post PANTAI KLEBANG SATUKAN KELUARGA, SUKAN DAN TRADISI
Next post ELRICK PEMUDA ORANG ASLI KEBANGGAAN ASAHAN