Sorting by

×

PANTAI KLEBANG SATUKAN KELUARGA, SUKAN DAN TRADISI

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KLEBANG 2 Mei – Penganjuran Festival Muzik Air Melaka 2026 di Pantai Klebang tampil berbeza apabila menggabungkan elemen tradisional dengan mengetengahkan aktiviti riadah berteraskan kekeluargaan.

Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka, Nasrul Ahmad berkata, ia diserlahkan apabila peserta bagi pelbagai aktiviti sukan dianjurkan dikehendaki mengenakan pakaian berkonsep tradisional.

Jelas beliau, antara acara sukan yang dianjurkan adalah seperti bola sepak pantai, gusti lengan, konda kondi, muay thai, bola jaring serta aktiviti air seperti berkayak dan berkanu.

Tambah beliau lagi, ia menyaksikan festival tersebut bukanlah hiburan ‘kosong’ sebaliknya bertujuan memartabatkan lagi imej budaya negeri, sekali gus menonjolkan identiti Melaka sebagai destinasi pelancongan berteraskan warisan.

“Kesemua program ataupun aktiviti-aktiviti yang kita buat ni adalah bersifat riadah, sukan dan juga rekreasi malahan bukan sahaja dihadiri oleh peserta tetapi bersama keluarga.

“Ada peserta datang bersama keluarga dan kesemua mereka juga mengenakan pakaian tradisional bersama.

“Acara gusti lengan pula misalnya, kita dapat penyertaan dari negara luar seperti Nigeria yang turut mengenakan tengkolok, sekali gus menambah lagi warna dan seri festival ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada Festival Muzik Air Melaka 2026, di sini.

C9040d65 fb7e 41f6 abce a5e8905eec44
NASRUL

Mengulas lanjut, Nasrul memaklumkan, penganjuran festival buat julung kalinya itu turut memberi impak positif kepada peniaga sekitar Pantai Klebang apabila kawasan itu meriah dengan pelbagai aktiviti sejak awal pagi lagi.

Beliau turut menyeru orang ramai untuk hadir dan merasai sendiri pengalaman berada di festival tersebut dengan pelbagai aktiviti seisi keluarga yang memberi impak kepada keseluruhan rakyat di negeri ini.

“Sebenarnya aktiviti ini adalah program yang memberikan satu faedah bukan sahaja kepada pengunjung tetapi kepada peniaga sepanjang dua hari penganjurannya di Pantai Klebang ini.

“Saksikan dan datang berpakaian tradisional untuk rasai kelainan dibawakan Melaka. Melaka berbeza dan kita berpegang kepada tradisi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

326
Kongsi :
Previous post BACAAN YASIN, DOA SELAMAT BUKA TIRAI SAMBUTAN HARI PERBANDARAN KE-23 MPAG
Next post MINI ZOO TARIKAN BAHARU KAMPUNG BUKIT SENGGEH