
BACAAN YASIN, DOA SELAMAT BUKA TIRAI SAMBUTAN HARI PERBANDARAN KE-23 MPAG
DURIAN TUNGGAL 2 Mei – Majlis Bacaan Yasin Dan Doa Selamat membuka tirai sambutan Sambutan Hari Perbandaran Ke-23 Majlis Perbandaran Alor Gajah Tahun 2026 di Masjid Ar Rahman Kampung Parit Melana Durian Tunggal, di sini pada Khamis.
Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin berharap MPAG terus mengekalkan kecemerlangan selepas lebih dua dekad dinaik taraf perbandaran.
“Bukan sahaja MPAG tetapi semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini diharap kekalkan momentum kecemerlangan dan meneruskan segala inisiatif yang memberikan faedah kepada Melaka dan rakyat khususnya.
“Setakat ini semua PBT aktif menyahut saranan Kerajaan Negeri termasuk daripada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh terutamanya dalam menyantuni rakyat kurang mampu.
“Contoh inisiatif baik pulih kediaman dilaksanakan PBT juga selaras dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa),” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Hadir sama Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Yang Dipertua MPAG Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim, Setiausaha MPAG Radzyma Mahat, ketua-ketua Jabatan dan unit, pegawai, kakitangan MPAG serta komuniti setempat.
Pada majlis sama MPAG turut menyerahkan sumbangan kepada masjid Ar Rahman selain meraikan pelajar tahfiz.
MPAG menyambut ulang tahun naik taraf perbandaran yang ke-23 pada 1 Mei 2026. Ianya merupakan manifestasi kepada perjalanan transformasi dan kecemerlangan berterusan dalam memperkukuh tadbir urus serta pembangunan kawasan perbandaran Alor Gajah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


