
RAKYAT MELAKA MAKIN BIJAK PILIH RUMAH IKUT NILAI DAN KEMAMPUAN – EXCO
AYER KEROH 2 Mei – Rakyat negeri ini disifatkan semakin bijak membuat pilihan dalam pembelian rumah dengan menilai aspek harga, lokasi dan kemampuan kewangan.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, situasi itu dapat dilihat menerusi sambutan diterima pada Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) Melaka 2026 apabila kebanyakan projek perumahan terutama rumah mampu milik mencatat jualan positif.
“Ini membuktikan bukan orang tidak membeli rumah, tetapi cuma rakyat kita dalam keadaan yang bijak untuk menilai.
“Jadi mereka akan pilih rumah yang terbaik dan pemaju perumahan pula bersaing dalam keadaan yang baik kerana dasar Kerajaan Negeri banyak membantu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan MAPEX Melaka 2026 di Pasaraya Mydin MITC di sini, semalam.
Hadir sama Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin; Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Melaka Datuk Ngoh Chun How dan Pengerusi Penganjur MAPEX Melaka 2026 Datuk Sonny Tay Chor Han.
Ekspo Hartanah Melaka (MAPEX) Melaka 2026 yang berlangsung bermula Selasa lalu hingga esok menghimpunkan pelbagai pemaju perumahan tempatan dan luar negeri dengan menawarkan pelbagai projek kediaman termasuk rumah mampu milik, apartmen serta hartanah komersial.
Mengulas lanjut, Rais berkata Kerajaan Negeri berada pada landasan tepat dalam mencapai sasaran pemilikan rumah rakyat.
“Kebanyakannya rumah ini sudah boleh dijual dan kita memang ada sasaran, cuma saya nak beritahu kita berada dalam keadaan ‘on track’, kita tidak terkandas di mana-mana,” katanya.
Katanya, rumah yang masih perlahan jualannya kebanyakannya bukan dalam kategori harga RM250,000 ke bawah, sebaliknya melibatkan unit tertentu seperti kondominium.
“Kebanyakan projek yang mendapat sambutan merupakan rumah berstatus Malay Customary Land (MCL) atau lot Bumiputera pada ekspo ini.
“Terdapat juga projek rumah Bumiputera bernilai lebih RM500,000 yang diyakini mampu habis dijual berdasarkan sambutan projek terdahulu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


