Sorting by

×

SEMAKIN RAMAI BIJAK PANDAI DI MELAKA JADI MANGSA ‘SCAMMER’

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 4 Jun – Kes jenayah penipuan dalam talian atau ‘scam’ di Melaka dalam tempoh separuh pertama tahun ini menunjukkan penurunan berbanding tempoh sama tahun lalu, namun ia masih berada di paras membimbangkan.

Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, ia memandangkan semakin ramai golongan bijak pandai di negeri ini seperti doktor, usahawan korporat dan pengurus bank menjadi mangsa penipuan walaupun kempen kesedaran telah diperluaskan.

Menurut beliau, antara kes penipuan yang paling banyak dikesan adalah terpedaya dengan pelaburan di media sosial, selain sindiket mencari kerja dan penipuan pinjaman daripada individu mengaku rakan.

“Sehingga 2 Jun 2025, sebanyak 934 kes penipuan telah direkodkan di Melaka, membabitkan nilai kerugian melebihi RM30 juta.

“Walaupun angka penipuan tidak besar seperti sebelum ini, namun, yang menghairankan adalah apabila semakin ramai bijak pandai menjadi mangsa penipuan dan bukannya orang awam atau penjawat awam seperti sebelum ini.

“Kita mendapati masalah sikap menjadi antara cabaran utama dalam membendung jenayah penipuan dalam talian, di mana rata-rata mereka yang ditipu diselubungi rasa tamak dan enggan merujuk kepada ahli keluarga atau rakan-rakan terdekat terhadap sesuatu perkara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Pemantapan Content Creator Kempen Kesedaran Jenayah Scammer di Bilik Mesyuarat Gunasama, Tingkat 4 Menara Persekutuan, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Penerangan Melaka Ab Rasil Hajatil dan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Syed Isa Al-Sagoff.

Mohd Noor Helmy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong berkata, bengkel khas itu dianjurkan dengan melibatkan ketua-ketua komuniti di negeri ini bertujuan untuk meningkatkan lagi kesedaran tentang jenayah penipuan dalam talian untuk disampaikan kepada masyarakat.

Beliau memaklumkan, objektif utama bengkel itu adalah untuk memberi kefahaman yang lebih mendalam tentang modus operandi jenayah ‘scammer’ yang kini berlaku secara senyap dan adakalanya tanpa disedari.

“Jadi, kita mahu segala penerangan, pendedahan dan ilmu daripada bengkel ini dapat dipulangkan kembali kepada masyarakat menerusi ketua-ketua komuniti ini supaya rakyat negeri ini dapat berwaspada terhadap jenayah penipuan yang berlaku di sekeliling kita,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2158
Kongsi :
Previous post ECO-CRUISE SUNGAI LINGGI BAKAL DILANCAR PADA SEPTEMBER
Next post LAPOR KEBOCORAN PAIP DI MELAKA, SAMB BAKAL TAWAR HADIAH